Sikap peniaga suka gantung barang jualan punca siling Dataran Pahlawan runtuh
BERLAKU kekecohan di sebuah pusat beli belah di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir Melaka, Ahad lepas apabila siling premis perniagaan runtuh dan menghempap barang-barang peniaga.
Difahamkan kejadian tersebut berlaku pada pukul 10 malam di sebuah kawasan jualan barangan kraf tangan di dalam pusat beli belah itu.
Ia sekali gus mengakibatkan pemilik kedai terpaksa menanggung kerugian ekoran barang-barang perniagaan mereka rosak.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, ia berpunca dari sikap para peniaga yang suka menggantung barang-barang perniagaan mereka di struktur siling. Itulah yang menjadi punca kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, selain daripada meletak bebanan pada siling, siasatan awal mendapati terdapat kebocoran kecil yang berpunca dari lantai di bahagian atas Dataran Pahlawan.
Setakat ini, katanya, tiada kecederaan dan para peniaga yang berada dalam bangunan tersebut berjaya menyelamatkan diri.
“Anggaran jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan lagi. Banyak kerosakan berlaku kerana premis tersebut agak sempit dan padat.
“Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) difahamkan akan melakukan proses pembaikan segera bagi membolehkan peniaga kembali berniaga seperti biasa,” katanya. – SM