PolitikPRK

Sikap pemimpin makin pelik

SEHARI dua ini dalam media sosial gempar dengan tindakan sekumpulan model perempuan yang lengkap bertudung dilihat mengayakan pakaian pengantin di tanah perkuburan masyarakat Kristian.

Entah apa motifnya kita kurang pasti. Tetapi berdasarkan trend terkini, itu mungkin antara usaha mempromosi butik pengantin terbabit.

Yang pasti, cara itu adalah salah dan menghiris perasaan bukan sahaja orang Melayu beragama Islam tetapi juga bagi ahli keluarga si mati.

Di Tanjung Piai, Johor pula ketika ini sedang rancak berlangsung kempen pilihan raya kecil kawasan itu yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik, 42, pada 21 September lalu, akibat komplikasi jantung.

Seperti tindakan pihak yang menjadikan kawasan perkuburan sebagai lokasi untuk menarik perhatian, pemimpin-pemimpin yang berkempen untuk calon masing-masing juga ternyata sanggup melakukan apa sahaja  dalam usaha mendapatkan undi memastikan kemenangan.

Dalam keghairahan tersebut, ada dalam kalangan mereka seolah-olah hilang pertimbangan sehingga turut melakukan perkara-perkara yang sebelum ini menjadi bahan kritikan atau ‘senjata’ untuk memperlekehkan tindakan pihak lawan.

Malah ada kalanya, kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan menghiris hati penduduk kampung.

Paling ketara adalah tindak-tanduk pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang kini telah pun menjadi parti pemerintah (kerajaan) selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Jika dahulu golongan ini cukup ‘benci’ dengan strategi ‘mengumpan’ pengundi yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) pada saat-saat akhir, kini mereka pula mengambil tempat yang sama.

Banyak ‘habuan’ dan projek ditawarkan kepada penduduk Tanjung Piai dan sekitarnya jika mereka memilih calon PH, Karmaine Saidini, 66.

Malah, ada yang tidak segan-silu menggunakan sekolah yang jelas diketahui tidak sepatutnya terbabit dengan mana-mana kempen politik.

Lebih menghairankan ada juga menteri yang berjanji atau mengumumkan peruntukan kepada  nelayan walaupun golongan itu tiada kaitan dengan portfolio di bawah kementeriaannya.

Dalam masa sama, pelobi-pelobi calon BN, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng, 55, pula tiba-tiba lupa bahawa apa yang dilakukan PH itu adalah perkara yang sering mereka lakukan sebelum ini.

Selama 60 tahun memerintah, BN sewajarnya telah mampu menerapkan cara berkempen yang berhemah, bukan menunggu kehilangan kuasa baru menyedari banyak perkara yang tidak betul.

Letak ke tepi soal calon Berjasa, Datuk Ir. Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz; Gerakan, Wendy Subramaniam serta dua calon Bebas, Dr. Ang Chuan Lok dan Dr. Faridah Aryani Abdul Ghafar.

Dalam bahasa mudah, sikap yang ditunjukkan pemimpin kedua-dua parti gabungan terbesar – PH dan BN ini diibaratkan sebagai ‘meludah ke langit,  muka sendiri yang basah’.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button