Sidang Parlimen: Titah Agong mesti akur
KEPERLUAN Parlimen bersidang mempunyai asas dan rasional yang tidak boleh dinafikan. Sidang Parlimen ini adalah bagi membincangkan tindakan yang sudah diambil oleh kerajaan dan perlu ada timbangtara atau check and balance.
Ramai di luar sana yang mengatakan, tindakan kerajaan kurang berkesan khususnya dalam menangani pandemik Covid-19 walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan tanpa jemu oleh kerajaan.
SOP dan PKP berterusan namun kes Covid-19 masih menunjukkan angka yang membimbangkan dan sekaligus itu dijadikan kayu pengukur untuk mengatakan yang tindakan kerajaan selama dua tahun ini, tidak berkesan.
Kes Covid-19 kian meningkat walau apa pun dilakukan oleh kerajaan sekarang ini. Oleh itu mesti ada check and balance di dalam tindakan kerajaan.
Semestinya yang duduk sebagai kerajaan sedar dan tahu bahawa kerajaan tidak boleh membuat keputusan sewenang-wenangnya tanpa adanya check and balance.
Maka itulah, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah ini mesti dipandang serius.
Kata glokalis Tun Sri Lanang kepada SUARA MERDEKA, titah Agong perlu dipandang serius kerana sekiranya tidak mendengar titah Agong bererti ia satu penderhakaan seluruh jemaah Kabinet disebabkan status beliau sebagai Ketua Negara.
“Agong adalah pemerintah manakala Perdana Menteri serta jemaah menteri adalah pentadbir. Ada perbezaan besar dalam kedudukan mereka,” kata Tun Sri Lanang.
Pada hemat beliau, kuasa yang ada pada seseorang Perdana Menteri atau jemaah Menteri itu adalah kuasa yang tidak mutlak dan ada klausa-klausa yang menidakkan mereka atas budibicara Agong.
Justeru keengganan jemaah Menteri untuk bersidang bererti bukan sahaja menidakkan titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) tetapi juga suara rakyat yang memilih mereka, ujar Tun Sri Lanang.
Rintihan rakyat hendaklah didengar secara berterusan dan rintihan mereka mesti diutamakan. Tanpa rakyat maka kerajaan tidak akan wujud!
Sekarang ini adalah masa darurat maka bila darurat, Ketua Kerajaan telah berpindah kepada Agong. Jika Agong dan Majlis Raja-raja Melayu telah membuat keputusan, adalah wajar kerajaan mendengarnya, kata Tun Sri Lanang lagi.
“Jika tidak, Agong boleh mengerahkan penggantungan Kerajaan yang dianggap gagal dalam melaksanakan Titah YDPA sebagai Ketua Negara yang berperlembagaan ini,” katanya.
Agong bertitah diadakan sidang Parlimen sebelum 1 Ogos nanti. – SM