BeritaNasional

Sidang Kemuncak KL 2019: tumpuan kepada usaha tangani isu-isu ummah

KUALA LUMPUR, 19 Dis — Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) akan berlangsung di ibu negara hari ini, dengan para peserta membincangkan pelbagai isu yang memberi kesan kepada komuniti Islam, di samping berusaha mencari jalan penyelesaian ke arah kesejahteraan ummah.

Persidangan edisi kelima ini akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual berkenan menyampaikan titah diraja pada perasmian persidangan empat hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu.

Sidang Kemuncak KL bermula malam tadi dengan acara jamuan malam bagi mengalu-alukan kehadiran peserta, di mana Dr Mahathir berkata sidang kemuncak itu diadakan kerana merasakan sesuatu perlu dilakukan bagi memperbaiki kehidupan ummah di seluruh dunia.

Beliau berharap sidang kemuncak itu akan dapat menetapkan sejumlah inisiatif khusus yang boleh menjadi pemangkin kepada pencapaian yang lebih besar kepada umat Islam.

Peserta sidang kemuncak dengan tema “Peranan Pembangunan Dalam Akses Kedaulatan Negara” menghimpunkan para pemikir, intelektual, ahli politik, dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

Dengan perhimpunan lebih 450 perwakilan daripada 56 negara Islam, isu-isu seperti kebangkitan Islamophobia, pemenjaraan umat Islam di seluruh dunia, penghijrahan besar umat Islam akibat perang sivil, dijangka akan menjadi topik utama perbincangan.

Sidang kemuncak ini akan memberi tumpuan kepada tujuh teras utama iaitu pembangunan dan kedaulatan negara, integriti dan tadbir urus yang baik, kebudayaan dan identiti, keadilan dan kebebasan, keamanan, keselamatan dan pertahanan, perdagangan dan pelaburan, serta teknologi dan tadbir urus internet.

Hampir 800 pengamal media tempatan dan antarabangsa akan membuat liputan persidangan tersebut yang melabuhkan tirainya Sabtu ini.

— BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button