
Siasatan Dibuka, Lelaki Didakwa Dikasar Gara-Gara Makan di Tempat Awam
PIHAK polis kini sedang menyiasat kes tular membabitkan seorang lelaki bukan Islam yang didakwa dikasari oleh individu lain gara-gara makan di tempat awam di sebuah kedai serbaneka di Angsana Mall, Johor Bahru.
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang, memaklumkan bahawa mangsa, dikenali sebagai Elijah, telah membuat laporan di Balai Polis Tampoi. Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan tidak mengambil tindakan sendiri.
“Insiden ini adalah satu provokasi yang tidak mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian negara kita yang berbilang kaum. Tindakan sebegini harus dihentikan serta-merta dan tidak boleh dibiarkan berkembang dalam masyarakat yang menjunjung prinsip Rukun Negara,” katanya menerusi hantaran di laman X, hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa insiden seumpama ini tidak boleh dipandang remeh kerana berpotensi menjejaskan keharmonian antara kaum.
**”Saya mengutuk keras sebarang bentuk keganasan, diskriminasi, dan sikap prejudis yang boleh merosakkan perpaduan rakyat Malaysia. Kita harus saling menghormati budaya dan mengamalkan nilai kefahaman serta toleransi.
“Negara hanya akan maju jika rakyat bersatu, menghormati satu sama lain, dan hidup dalam suasana harmoni tanpa ketegangan kaum atau agama,”** tambahnya.
Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video memaparkan seorang lelaki berbangsa Cina didakwa dikasari oleh seorang lelaki berbangsa Melayu di sebuah kedai serbaneka di Johor Bahru. Lelaki yang memakai jubah hitam itu dilihat bertindak menampar Elijah beberapa kali sebelum ditenangkan oleh anaknya.