
Kenaikan Harga Eco Shop: RM2.60 di Semenanjung, RM2.80 di Sabah & Sarawak
Eco Shop kekal sebagai destinasi pilihan ramai untuk membeli-belah kerana harga produknya yang berpatutan. Dengan tawaran serendah RM2.40, kepelbagaian produk yang dijual sering membuat pelanggan rambang mata.
Namun, bermula 14 April 2025, Eco Shop akan menaikkan harga kepada RM2.60 di Semenanjung Malaysia, manakala di Sabah dan Sarawak, harga baharu akan menjadi RM2.80. Pengumuman mengejut ini menimbulkan kekecewaan dalam kalangan pelanggan setia, terutamanya mereka yang bergantung pada harga mampu milik Eco Shop selama bertahun-tahun.
Dalam kenyataan rasmi yang dipaparkan pada banner di kedai, pihak Eco Shop menjelaskan bahawa kenaikan harga ini perlu dilakukan bagi mengekalkan kualiti produk serta memastikan perkhidmatan mereka berada pada tahap terbaik.
Untuk rekod, kali terakhir harga di Eco Shop dinaikkan adalah pada 1 Jun 2022, apabila harga meningkat daripada RM2.20 kepada RM2.40 di Semenanjung, dan daripada RM2.40 kepada RM2.60 di Sabah serta Sarawak.
Bagi anda yang ingin berbelanja, mungkin ini masa yang sesuai untuk merancang pembelian lebih awal sebelum harga baharu berkuat kuasa pada 14 April 2025!