Shopee, Finas bekerjasama sempena Hari Kebangsaan, Hari Malaysia
Platform e-dagang, Shopee dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menjalin kerjasama unik sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Shopee dalam kenyataan memaklumkan menerusi beberapa inisiatif, kerjasama itu bertujuan untuk menanam rasa cinta dan penghargaan yang lebih dalam kepada negara dan mempromosikan perpaduan ketika negara merayakan Hari Kebangsaan di tengah-tengah pandemik.
Menurut Shopee, kerjasama itu bermula dengan tayangan ‘Dari Merdeka ke Malaysia’, iaitu siri dokumentari bersejarah yang memaparkan perjalanan negara mencapai kemerdekaan dan pembentukan Malaysia bersama dengan warisan dan budaya rakyat Malaysia.
Ketua Pegawai Operasi Shopee Terence Pang berkata mereka berbesar hati dapat bekerjasama dengan Finas dan diberikan peluang untuk menayangkan dokumentari mengenai struktur sejarah Malaysia yang akan disiarkan secara penstriman langsung menerusi Shopee Live pukul 9.30 malam pada 30 dan 31 Ogos serta 6, 7, 13, 14 dan 16 Sept ini.
“Dokumentari ‘Dari Merdeka ke Malaysia’ ini memaparkan perkara paling penting – perpaduan dan ketabahan – terutama pada masa-masa sukar ini. Shopee ingin menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan semua rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam meraikan komuniti peniaga tempatan, Shopee juga akan membuat pengambilalihan laman Shop Malaysia Online (SMO) dan Go-Ecommerce yang dinamakan #ShopeeSapotLokal masing-masing pada 31 Ogos dan 16 Sept.
“Rakyat Malaysia akan menerima baucar lebih besar yang menawarkan diskaun hingga 31 peratus apabila membuat pembelian daripada peniaga Malaysia pada dua hari berkenaan,” menurut Shopee.
Pada masa sama, Shopee akan melancarkan video muzik animasi Hari Kebangsaan yang akan memaparkan enam penjual tempatan dan perjalanan e-dagang mereka di Shopee. Lirik untuk video muzik itu ditulis dan akan dipersembahkan oleh penyanyi rap Malaysia Kayda Aziz.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Finas Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata Finas selalu berusaha untuk mempromosi, memupuk dan membantu pembangunan industri filem tempatan.
“Kerjasama strategik dengan Shopee membolehkan kami mengukuhkan strategi pembangunan kapasiti dengan pembuat filem baharu dan mempelbagaikan penonton dalam platform itu,” katanya.
Inisiatif ‘Dari Merdeka ke Malaysia’ dan #ShopeeSapotLokal adalah sebahagian daripada 9.9 Super Shopping Day yang sedang berlangsung hingga 9 Sept iaitu pembeli boleh menebus penghantaran percuma dan baucar pulangan tunai syiling 99 peratus, kedua-duanya tanpa perbelanjaan minimum.
Pengguna juga berpeluang memenangi Mercedes-Benz jenama baharu dengan menyertai peraduan Play & Win Mercedes-Benz dengan mengumpul tiket emas setiap hari.