Politik

Shafie tidak tergugat, dapat sokongan ADUN blok kerajaan

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) blok kerajaan Sabah kekal menyokong kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk terus menerajui pentadbiran kerajaan negeri, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Madius Tangau.

Beliau berkata ADUN kerajaan Sabah memberi jaminan untuk terus berdiri teguh mendukung kerajaan negeri pimpinan Mohd Shafie yang juga presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) di sebalik khabar angin mendakwa akan berlaku perubahan kerajaan negeri pada Julai depan.

Tangau yang juga presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata pendirian ADUN kerajaan itu adalah berdasarkan kepada perjuangan dimulakan Mohd Shafie khususnya dalam mempertahankan hak-hak Sabah selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 dalam tempoh dua tahun ini.

“Oleh sebab itu, barisan pimpinan dan semua wakil rakyat yang menyokong pembentukan kerajaan negeri pada hari ini akan terus berdiri di belakang Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk meneruskan perjuangan ini. Justeru, kita meminta supaya rakyat jangan dengar apa juga (dakwaan) yang cuba memporak-perandakan kestabilan kerajaan negeri Sabah,” katanya dalam sidang akhbar di Kota Kinabalu, hari ini.

Sidang akhbar diadakan bagi menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Mohd Shafie itu turut dihadiri beberapa pimpinan tertinggi Warisan dan parti komponen Pakatan Harapan Sabah.

Antara turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong yang juga naib presiden Warisan; Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew selaku pengerusi PKR Sabah dan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung yang juga pengerusi DAP Sabah.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Junz Wong merangkap naib presiden Warisan serta beberapa ADUN blok kerajaan yang lain.

Semalam, tular di media sosial yang mendakwa kononnya ada perubahan kerajaan negeri pada Julai ini kerana dikatakan ada wakil rakyat daripada blok kerajaan akan melompat parti.

Tangau berkata isu tersebut bukan satu perkara baharu berikutan terdapat pihak tertentu sengaja mencuba untuk memporak-perandakan kestabilan kerajaan negeri pada hari ini dengan menyebarkan khabar-khabar angin berkenaan bertujuan mengelirukan rakyat Sabah.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan dakwaan kononnya ada perubahan kerajaan negeri itu tidak timbul berikutan blok kerajaan Sabah adalah mantap selain mempunyai kelebihan 18 kerusi berbanding pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, situasi di Sabah adalah berbeza dengan Melaka dan Kedah kerana majoriti kerusi DUN antara blok kerajaan dan pembangkang di kedua-dua negeri itu hanya satu atau dua sahaja.

“Kita (blok kerajaan) solid. Bilangan majoriti (kerusi) kita tinggi … lebih 18. Jadi, jangan samakan (Sabah) dengan di sana,” katanya. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button