Nasional

Sertai pasukan Polis bukan untuk cari makan tapi kerana cintakan negara – Musa Hassan

Esok sambutan Hari Malaysia

“KALAU nak cari makan, jangan masuk polis.  Nak masuk polis, hati kena cekal. Nombor satu, kerana sayangkan dan cintakan negara.”

Demikian ungkapan daripada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang pada hematnya, perkhidmatan sebagai seorang anggota polis memerlukan seseorang itu bersikap penuh tanggung jawab sewaktu menjalankan tugas.

Selain itu, integrity dan memikul amanah dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan negara perlu digalas oleh setiap anggota polis, kata Musa.

Katanya lagi, sikap sayangkan negara itulah yang akan membentuk keperibadian seorang anggota polis agar berada di landasan yang betul, tidak terlibat dalam mana-mana penyelewengan.

“Kalau sesiapa yang tidak boleh dibetulkan atau terlibat dalam pelbagai bentuk penyelewengan, berhentilah.

“Carilah kerja lain yang boleh buat duit. Pasukan polis ini tempat orang yang sayangkan negara, yang hendak menjaga negara dengan betul dan menjaga masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi wawancara khas BERNAMA bersama Musa sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia yang jatuh esok, 16 September.

Untuk rekod, Musa berkhidmat dalam pasukan Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 41 tahun.

Dengan pengalamannya itu, selayaknya beliau memberi peringatan kepada generasi muda yang ingin menyertai PDRM, harus mempunyai jiwa kental dan bukan melihat atas faktor gaji semata-mata.

Tegas Musa, anggota polis perlu ada semangat patriotic yang tinggi selain daripada sayangkan negara.

Kalau semangat itu tidak ada, apa gunanya? Hanya dengan adanya semangat sayangkan negara maka anggota polis itu akan bertindak lebih baik dan tidak terlibat rasuah, katanya.

Beliau menambah, integriti pasukan secara keseluruhannya akan kekal kerana seorang anggota polis itu tahu bahawa rasuah akan merosakkan keselamatan negara.

Tegas Musa lagi, ketua bagi setiap unit dan jabatan dalam PDRM juga mesti dilantik dalam kalangan individu yang amanah, ikhlas dan tegas dalam melaksanakan tugas dan bukannya dalam kalangan yang hanya pandai mengampu.

Beliau berkata, mereka juga perlu sedar bahawa keamanan dan kesejahteraan negara yang dikecapi hari ini, tidak datang sendiri jika tiada pengorbanan daripada anggota pasukan keselamatan yang berjuang untuk negara sehingga ada yang terkorban demi mempertahankan tanah air.

Selain itu, jelas Musa, cabaran yang dihadapi anggota PDRM juga berbeza berbanding dahulu seiring dengan kemajuan teknologi dan maklumat seperti penjajahan minda melalui medium internet.

“Ancaman pada masa sekarang lebih luas dan mengandungi unsur-unsur yang boleh merosakkan negara berbanding

sebelum ketiadaan kemudahan internet,” katanya.

Sementara itu, bekas Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM, Tan Sri JJ Raj berkata, setiap anggota dan pasukan keselamatan negara harus menghayati erti kemerdekaan sepanjang masa.

Bukannya ketika tibanya sambutan Hari Kebangsaan ataupun Hari Malaysia, katanya.

Sebagai salah seorang warisan sejarawan Polis negara, Raj menyatakan hasrat dan harapannya terhadap generasi baharu warga PDRM.

“Saya berharap agar generasi baharu warga PDRM akan meneruskan perjuangan pasukan polis kita demi menegakkan intergriti, amanah dan tanggungjawab selain daripada membanteras segala bentuk rasuah,” katanya.

Raj berkata, kerjasama di antara polis dan masyarakat melalui konsep Kepolisian Komuniti sebenarnya perlu terus dilaksanakan supaya dapat membantu dalam pencegahan jenayah. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button