Pasangan suami isteri yang ditahan kerana membunuh seorang tukang masak di Pandan Indah, di sini, Khamis lalu, didakwa melakukan jenayah itu menggunakan alat letupan buatan sendiri dengan kawalan jauh.
Sumber berkata ketika kejadian, pasangan itu berada berhampiran restoran tempat mangsa bekerja.
“Kawalan jauh itu ditekan sebaik melihat mangsa memegang bungkusan yang diletakkan di atas keretanya.
“Perbuatan mereka dirakam menggunakan kamera litar tertutup (CCTV). Mereka melarikan diri ke Kedah selepas membuang pakaian dan alat kawalan jauh bagi mengelak disyaki.
“Suami berusia 30 tahun itu membuat bahan letupan itu di rumah mereka di Serdang, Kedah, bersama isterinya,” kata sumber.
Sumber itu juga berkata bahan membuat bom ditemui di rumah pasangan itu.
“Kereta pasangan suami isteri yang didakwa digunakan dalam kejadian itu turut dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sumber itu berkata, si suami marah terhadap mangsa yang menjalin hubungan sulit dengan isterinya, dan si isteri mahukan balasan kerana diambil kesempatan.
Sumber berkata, mangsa melarikan diri ke Ampang tahun lalu selepas suspek lelaki itu didapati berhubung dengan isterinya.