SEMASA saya menerima arahan untuk memastikan kemenangan besar Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil Port Dickson, rasanya agak pelik kerana ketika itu Utusan Malaysia masih lagi media milikan UMNO.
Sedangkan ada Isa Samat yang bertanding sebagai calon Bebas dan merupakan ahli dan pemimpin UMNO yang kemudiannya keluar daripada parti itu. Bahkan jika Utusan berpihak kepada calon Pas ada juga logiknya kerana UMNO semakin akrab dengan parti Islam itu.
Langkah PD yang diadakan semata-mata untuk membawa kembali Anwar ke arus perdana politik pada awalnya tidak menjanjikan pemimpin PKR itu akan mampu menggapai impiannya sebagai Perdana Menteri. Walaupun juak-juak beliau memberi jaminan bahawa Anwar akan berada di posisi sepatutnya dipegang hanya dalam tempoh dua bulan selepas langkah PD, saya tidak nampak jalan langsung ketika itu.
Dengan Kongres Maruah Melayu menggabungkan parti-parti Melayu digerakkan oleh Dr Mahathir Mohamad ia seolah-olah memberi kekuatan baharu kepada Perdana Menteri yang dilihat semakin hari semakin keseorangan dan menuju ke hujung kariernya. Perhimpunan itu memperlihatkan bahawa parti-parti Melayu masih lagi menyokong Mahathir dan sanggup menerimanya jika beliau mahu kembali merangkul silaturahim, walaupun pada asasnya Mahathir yang telah membakar jambatan.
Ada cakap-cakap yang menyatakan Mahathir bersedia kembali kepada UMNO dan membubarkan Bersatu jika Najib Razak dan Zahid Hamidi disingkirkan daripada parti itu dan Hishammuddin Hussein akan mengetuai gerombolan berkenaan. Bagaimanapun kini perkara itu seolah-olah tinggal cakap-cakap sahaja Najib dan Zahid semakin kukuh kedudukan serta sokongan ahli serta pemimpin UMNO juga makin kuat.
Semua orang mahu dikaitkan dengan kejayaan dan kemenangan besar di Tanjung Piai telah menjadi gam mengikatkan kembali keyakinan dan kekuatan para pemimpin UMNO, Barisan Nasional dan Muafakat Nasional.
Kalah 500 undi di Tanjung Piai pada pilihan raya umum yang lalu, tidaklah terlalu menyedihkan, tetapi kemenangan lebih 15,000 majoriti pada pilihan raya kecil adalah sesuatu yang sangat menggembirakan. Begitulah gambaran yang diberi oleh pemimpin UMNO Johor, Khaled Nordin.
Khaled juga meramalkan Tanjung Piai adalah satu musibah buat Bersatu dan memendekkan usia parti yang berusia setahun jagung itu kerana calon yang mereka letak tewas teruk.
Dalam hal ini Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin tidak akan terkesan, tetapi yang menanggung bahana ialah Mahathir yang kini berdepan dengan desakan meletakkan jawatan dari kiri dan kanan.
Walaupun agak lambat kini saya semakin jelas melihat siapa yang menyusun buah catur dalam permainan kali ini dan saya tidak sabar untuk melihat apakah langkah yang akan diambil oleh Mahathir untuk berdepan dengan gerak yang hampir mematikan langkah beliau.
Orang yang menyusun gerak kali ini tahu Mahathir mudah koyak apabila didesak meletakkan jawatan sebagaimana beliau pernah tiba-tiba meletakkan jawatan ketika perhimpunan agung UMNO kerana kecewa didesak berkali-kali.
Tetapi saya amat berharap Mahathir selaku negarawan supaya memperbetulkan keadaan dengan membubarkan parlimen dan kembali menjadi pemimpin yang dihormati bersama dengan Muafakat Nasional dan bukan dibiarkan serta dipulaukan bekerja keseorangan seperti sekarang.