Seluruh masyarakat perlu pelihara sungai – Raja Muda Perlis
Seluruh masyarakat diseru untuk sama-sama melipatgandakan usaha bagi menjaga dan memelihara sungai yang menjadi sumber kehidupan serta warisan kita semua, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda menegaskan bahawa antara langkah penting bagi memastikan serta menjaga kebersihan sungai ialah dengan menyediakan dan menggunakan tong sampah dengan betul. Apabila terdapat atau terjumpa sampah maka sampah perlu dibuang ke dalam tong sampah. Jika didapati tiada tong sampah maka pastikan membuang sampah tersebut apabila menemui tong sampah. Justeru, elakkanlah sama sekali daripada membuang sampah sarap sesuka hati dan di tempat yang tidak sepatutnya.
Budaya tegur menegur yang sihat secara berkesan juga hendaklah disubur dan diwujudkan. Masyarakat juga perlu lebih prihatin terhadap persekitaran dan isu semasa.
Demikian titah Tuanku Raja Muda sempena kempen ‘Perlis Hebat ; Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan’ oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis menerusi titah perutusan selepas berangkat meninjau kerja-kerja kawasan pengorekan sungai yang baru sahaja dimulakan di Projek DiRaja Program Transformasi Kampung Seberang Ramai Kuala Perlis yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri sempena ‘Hari Sungai Sedunia’ yang disambut pada hari ahad terakhir bulan September setiap tahun baru-baru ini bagi meningkatkan lagi kesedaran awam tentang sungai serta menggalakkan pemuliharaannya.
Sementara itu, Pengarah JPS Negeri, Ir. Asnol Adzhan Abd. Manap pula menasihatkan semua agar membuang perasaan malu dan takut untuk menegur mereka yang membuang sampah sesuka hati. Jika perlu tularkan dengan cara yang bijak, berhemah dan halus pada masa yang sama masih menjaga sensitiviti pelaku, seperti dengan cara mengkaburkan bahagian wajah atau sebagainya agar dapat memberikan kesan dan pengajaran terhadap orang ramai.