Politik

Selepas 5 petang ini: Kepimpinan Melayu jangan bergaduh lagi!

KOMENTAR

PERALIHAN kepimpinan kerajaan dengan pembentukan Kabinet baharu yang akan diumumkan 5 petang ini menyaksikan masih sayang lagi umat Melayu kepada kesatuan dan perpaduan ummah.

Ia biarpun Melayu berpecah lima (mungkin enam dan tujuh) pada sebelum, pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan memasuki tempoh dua tahun sejak 9 Mei 2018.

Melihat orang Melayu dari kalangan empat, lima parti politik Melayu `berperang’ dalam pilihan raya umum lepas, terdetik dalam Suara Merdeka, “ Tak belajarkah daripada sejarah mereka?

Ada kalangan dari kita suka menyebut ungkapan Hang Tuah yang kononnya berkata, “Takkan Melayu hilang di dunia”.

Hari ini benarlah Melayu tidak hilang, tapi apakah jenis Melayu yang tidak hilang ini – dengan berpecah belah sesama sendiri?

Ilmuan agama dan reformis Mesir, Syeikh Muhammad Abduh pernah mengingatkan yang Islam itu didindingi oleh umat Islam. Dan ummah sewajarnya mengingatkan bahawa Melayu itu juga didindingi oleh orang Melayu.

Syeikh Rashid Ganusi, pemimpin gerakan An-Nahdah di Tunisia pula mengutarakan, jika ada dua parti politik orang Islam yang berebut kuasa, di situlah punca perpecahan umat Islam di mana-mana negara. Ini kerana politik itu mencetuskan kebencian yang luar biasa sehinggakan umat tidak boleh bersikap rasional lagi.

Zahirnya, perpecahan ummah diandaikan terbelah dalam dua kabilah politik. Begitupun, lebih dalam lagi kerana dua kabilah politik itu dianggotai pelbagai individu – tiap seorang memiliki pelbagai kerenah, agenda, hasrat dan niat. Ada jurang antara tersurat dan tersirat. Antara akal dan nafsu, antara kata dan kota.

Di dalamnya pula muncul musang berbulu ayam, gunting dalam lipatan, sokong membawa rebah. Juga, perebutan kuasa sesama sendiri, adu domba, apatah lagi apabila kuasa dilihat dan digunakan sebagai duit untuk membina kekayaan diri, keluarga dan kroni.

Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari mencatatkan ketika mula menghadapi keuzuran kesihatan, Rasulullah SAW menyuarakan kebimbangan baginda akan selepas kewafatannya, terjadi pertelingkahan ummah kerana merebut kekayaan.

Kebimbangan baginda suatu jangkaan tepat suasana yang akan berlaku selepas baginda wafat – bahawa ummah walaupun kekal berpegang kepada Tuhan yang Esa, tetapi mereka berpecah belah kerana faktor-faktor pangkat, kuasa, kekayaan dan afiliasi, hingga ummah menyisihkan semangat persaudaraan.

Bahkan, akibat persaingan politik kita hari ini, telah menghalalkan cara hingga merentasi etika yang dianjurkan Islam. Fitnah, pemalsuan dan penghinaan yang keterlaluan berlaku berleluasa.

Perbalahan dipanjangkan dalam penulisan, disebarkan melalui alam siber. Dan sehingga akhirnya dibimbangi tidak akan ada lagi tokoh Melayu yang credible dan boleh dipercayai.

Tapi, cuba kita lihat orang bukan Melayu. Antara kata pujangga Confucius berbunyi: “Tidak menjadi salah untuk sesuatu terusan mempunyai sampan yang banyak asalkan kesemua sampan menuju haluan yang sama”.

Ungkapan tersebut sebenarnya menjadi kompas pelbagai organisasi bukan Melayu. Meski mereka berada dalam kabilah berlainan, tetapi dalam perkara-perkara asas menyentuh bahasa, kebudayaan, pendidikan dan perniagaan, mereka bersatu suara, bersatu tindakan.

Mereka tampak berselisih dari segi pendekatan tetapi mempunyai matlamat perjuangan yang sama. Kepentingan mereka tidak pernah terjejas walau kabilah politik mana yang menang atau kalah di dalam pilihan raya.

Kabilah politik bukan Melayu memiliki kebijaksanaan strategi. Mengambil posisi sayap kanan – sayap kiri, tetapi sama- sama melambung bola ke petak penalti untuk menjaringkan gol kemenangan.

Ketika berlaku perselisihan di antara Sayidina Ali dengan Muawiyah, kerajaan Rom menawarkan bantuan kepada Muawiyah untuk menentang Sayidina Ali dengan harapan mendapat manfaat jangka panjang.

Tawaran itu ditolak secara tegas oleh Muawiyah. Malah secara keras Muawiyah memberi amaran kepada Kerajaan Rom:

“Jangan terpedaya kerana perbezaan kami. Jika kamu berhasrat menentang umat Islam, aku akan menjadi tentera Ali yang pertama untuk menentangmu (Rom).”

Selepas 5 petang ini menerusi pembentukan Kabinet baharu di bawah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kepemimpinan Melayu janganlah lagi bergaduh sesama sendiri.

Adakah ini akan terlaksana atau mimpi di siang hari? – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button