Selawat dan salam menolak pembelotan – Mujahid
Selawat dan salam yang umat Islam lafazkan ke atas junjungan Nabi Muhammad bukan sekadar selawat.
Menurut Naib Persiden Amanah Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa, selawat dan salam adalah satu cara kehidupan yang menentukan hubungan di dunia untuk bersambung kebaikannya di akhirat.
Katanya, selawat dan salam juga meletakkan umat Muhammad s.a.w sebagai umat pengakhiran kepada risalah agung tauhid dari Adam a.s. bertitik-temu dengan Ibrahim a.s dan terus bersambung dengan Ishak, Ismail dan seterusnya Muhammad s.a.w.
Justeru katanya, selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad menolak sebarang bentuk pembelotan dalam perjanjian yang dipersetujui.
“Saelawat dan salam menolak pembelotan dalam perjanjian yang dimetrai, mengkhianati amanah yang dipersetuji apatah lagi membelakangi kemandatan. Ia bukan soal politik tetapi keruntuhan akhlaq dan pekerti terhadap erti kejujuran.
“Selawat dan salam adalah manifestatsi satu kejujuran sebelum apa-apa kelicikan politik yang hendak dirancangkan. Tiada agenda peribadi pada selawat dan salam yang kita lafazkan,” kata Mujahid dalam perutusannya sempena Maulidur Rasul hari ini.
Mujahid berkata, selawat dan salam juga mengajar manusia erti kemanusiaan, keadilan dan prinsip perundangan.
Kata beliau, kemelut dan ketidaktentuan politik hari ini perlu kembali kepada mempertahankan prinsip tersebut yang dianggap sebagai tiang-tiang keramat dalam membentuk perdamaian nasional yang dicari dan konsep bi-partisan dalam menentukan keputusan penting negara.
“Marilah kita bersalawat dan bersalam ke atas junjungan besar nabi kita Muhammad S.A.W pada hari ini dan pada setiap hari.
“Kita bina asas politik berkiblatkan Solawat kita dengan menolak kebencian antara manusia dan menolak pembohongan serta kemunafikan dalam merungkaikan kemelut.
“Semua kita bersalawat tanpa mengira kedudukan, pangkat dan darjat,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Tegas Mujahid, kerendahan jiwa adalah kunci kejayaan salawat manakala salam adalah ungkapan kejujuran dan kesejahteraan demi satu solusi kemelut dan krisis yang sedang masyarakat hadapi hari ini.
Bagaimanapun beberapa pengikut Facebooknya beranggapan ucapan Mujahid terhadap sambutan hari kelahiran Nabi Muhammad hari ini tidak sesuai kerana memuatkan unsur politik.
“Ishhh ishhh ishhh… berselawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW pun nak dimasukkan unsur-unsur politik,” kata Hafizi Asmawi.
“Sempat lagi selitkan politik dalam selawat. Cubalah ikhlaskan diri berselawat ke atas baginda nabi tanpa sedikitpun ayat yang berkaitan politik,” nasihat Pot.
“Selawat saja datuk. Lupakan politik dulu hari ini,” kata WM Rizal.-SM