Bola SepakSukan

Selamat maju jaya Safawi!

SAFAWI Rasid bukanlah pemain bola sepak pertama Malaysia yang mencuba nasib bermain di luar negara. Sudah ramai sebenarnya yang berbuat demikian, tetapi usaha tersebut masih belum benar-benar menunjukkan hasil yang memberi manfaat kepada bola sepak negara.

Percubaan demi percubaan menghantar pemain negara menimba pengalaman di bumi asing diteruskan dan kali ini tiba giliran Safawi apabila dia dipinjamkan ke kelab Liga Perdana Portugal, Portimonense SC dari Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bakat Safawi mula meraih perhatian ramai menerusi persembahan cemerlangnya bersama skuad kebangsaan dan juga sewaktu mewakili JDT.

Bersama JDT, peluang beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia telah menjadikan nilai pemain muda berusia 23 tahun itu semakin meningkat dan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mula menyusun perancangan jangka panjang buatnya sehinggalah membawa kepada penghijrahan Safawi ke Portugal.

Anak muda kelahiran Dungun, Terengganu itu tampil buat kali terakhir bersama JDT sewaktu membantu kelabnya membenam Sabah 4-1, Jumaat lalu yang menyaksikan Safawi menyumbang dua gol dan sekali gus membantu Harimau Selatan merangkul gelaran ketujuh berturut-turut Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim.

Related Articles

Sewaktu menjaringkan gol menerusi sepakan jarak jauh, Safawi meraikan dengan menyingkap jersinya dan menunjukkan pakaian dalamnya yang tertera tulisan ‘Saya akan merindui keluarga JDT’.

Menjelaskan tentang keputusannya berkelana di Eropah, memetik perbualan Safawi bersama Goal. com, pemain itu menyedari masih ramai yang meragui kesungguhannya bermain di luar negara dan dia bertekad untuk membuktikan tanggapan itu salah.

“Saya sebenarnya telah lama meletakkan sasaran bahawa pada satu hari nanti saya akan bermain di Eropah. Setiap hari kita melihat ramai bintang bermain di sana, jadi ia selalu menjadi impian saya untuk mendapatkan peluang yang sama,” katanya.

Safawi berkata, kalau tidak ke Eropah sekalipun, jika dapat beraksi di salah sebuah negara kuasa besar bola sepak Asia juga merupakan peluang yang baik sepatutnya dimanfaatkan oleh mana-mana pemain.

“Saya sedar ini merupakan peluang terbaik, tetapi saya perlu selalu mencabar diri sendiri untuk menjadi pemain yang lebih bagus.

“Semua yang bakal saya lalui adalah baharu bagi saya daripada persekitaran sehinggalah kepada cuaca. Saya perlu segera menyesuaikan diri dalam semua aspek.

“Dari segi latihan ia tak sepatutnya menjadi isu dan terpulang kepada saya untuk membuktikan kepada kelab bahawa mereka tidak silap menandatangani saya,” ujarnya.

Mengulas lanjut tentang mereka yang meragui kemampuannya beraksi di Eropah, Safawi memberitahu, dia sudah terbiasa berdepan dengan situasi tersebut sejak masih bergelar pemain T-Team lagi.

“Bukan sahaja di Malaysia, malah, orang di Portugal pun sama, mereka juga tertanya-tanya tentang bakat saya. Adakah saya cukup bagus untuk bermain dalam liga Portugal.

“Ia bukan mudah, tetapi terpulang kepada saya untuk memberikan yang terbaik dan memastikan ketua jurulatih, media dan juga peminat dapat menyaksikan kemampuan saya,” katanya.

Safawi juga amat berharap beraksi bersama Portimonense akan dapat meningkatkan kualiti permainannya kerana dengan rutin latihan dan persekitaran yang berbeza dia yakin sesuatu yang baharu dapat dipelajarinya.

Rakan sepasukannya, Nazmi Faiz dan Syamer Kutty Abba yang terlebih dahulu menimba pengalaman di Portugal turut banyak membantu Safawi untuk memulakan hidup di perantauan.

“Banyak yang perlu saya belajar. Saya juga ada berbual dengan Nazmi dan Syamer, mereka maklumkan saya corak permainan di Portugal sangat pantas dan semua orang memberikan 100 peratus ketika latihan.

“Buat masa sekarang, sasaran saya ialah untuk mencari penyesuaian diri serta rentak permainan dan kemudian baharulah berusaha mencari tempat dalam kesebelasan utama.

“Amat penting untuk saya menunjukkan kualiti di depan penonton yang berbeza dan siapa tahu, peluang yang lebih besar di Eropah akan saya peroleh menerusi pinjaman jangka panjang ini,” jelas Safawi. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button