Nasional

Selain Kain Cindai, Ini 5 Warisan Melayu Yang Hilang Dan Hampir Pupus!

PERUBAHAN zaman menjadi antara punca banyak warisan serta teknologi Melayu telah hilang dan sesetengahnya hampir pupus.

Keadaan ini menjadi menjadi salah satu sebab mengapa orang-orang Melayu tiada perkara yang ingin dibanggakan.

Tambahan pula, tidak ramai generasi muda diberi pendedahan mengenainya dan sempat menyambung ilmu warisan.

Menerusi artikel ini, berikut adalah antara seni warisan dan teknologi Melayu yang telah hilang dan hampir pupus namun perlu diketahui:

Wau Daun Palas

Dahulu masyarakat di Perlis menggunakan daun palas untuk dijadikan wau sebelum penggunaan kertas di perkenalkan. Terakhir kali pembuatan wau menggunakan daun palas dilihat pada tahun 1970-an.

Proses membuat wau palas amat rumit dan mengambil masa yang lama berbanding wau biasa kerana ia memerlukan ketelitian bermula daripada proses mengeringkan, membentuk, menjahit daun dan melekatkan daun palas pada badan wau.

Daun palas perlu dijemur sehingga kering, mengambil masa selama dua hari dan kemudian perlu diseterika untuk mengurangkan kedutan dan membentuk permukaan licin.

Selepas itu, daun palas perlu dijahit menggunakan benang kapas dan lebih kemas jika dicantumkan menggunakan getah rumbia namun bahan tersebut sukar diperolehi pada masa kini.

Capal

Capal merupakan alas kaki tradisional bagi masyarakat Melayu yang diperbuat daripada kulit dan rupanya seakan-akan selipar Jepun.

Capal dikatakan dibawa oleh pedagang India yang memakai selipar jenis tersebut ketika mereka datang ke Tanah Melayu dan nusantara beratus-ratus tahun dulu.

Kemudian, capal menjadi popular dalam kalangan bangsawan Melayu malah ia kekal dipakai dalam kehidupan seharian pada era 1980-an.

Namun kini, warisan tersebut semakin dilupai terutama dalam kalangan generasi muda. Ada pun capal hanya digunakan pada majlis perkahwinan atau pada hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.

Pembuatan Kapal Besar

Orang Melayu dahulu memiliki kepakaran dalam membuat kapal-kapal yang besar dan teknik pembuatannya pernah diwarisi secara turun-temurun selain diangkat sebagai tradisi dalam khazanah warisan bangsa.

Namun kini pembuatan dan penggunaan kapal besar tradisional Melayu hampir pupus dan kegiatan perdagangan dan maritim Melayu besar-besaran sudah lenyap.

Misalnya, kapal Jong dan Ghali sudah hilang ditelan zaman kerana sudah hilang fungsi dalam perdagangan antarabangsa.

Industri pembuatan kapal tradisional Melayu di Pulau Duyung Kuala Terengganu juga hampir tiada dan hanya ada kerja-kerja pembaikian kapal secara kecil-kecilan sahaja.

Pertukangan Besi

Pembuatan besi memerlukan kesabaran yang tinggi kerana perlu melalui beberapa proses termasuk menghadap bahang panas untuk membakar besi.

Seni pertukangan besi mungkin pupus suatu hari nanti kerana tiada golongan ‘pandai besi’ daripada kalangan generasi muda.

Kebanyakan golongan ‘pandai besi’ berusia antara 50 hingga 70 tahun yang bertahan bukan kerana minat semata-mata.

Tetapi ia merupakan mata pencarian utama untuk menyara keluarga. Jika golongan ini sudah tiada maka hilanglah seni pertukangan besi.

Kain Cindai

Generasi muda mungkin tidak mengenali mahu pun mendengar nama kain cindai atau pun kain limar.

Kain cindai atau kain limar merupakan kain tenunan sutera halus yang bermutu tinggi dengan bilangan benang tinggi bagi setiap inci.

Menariknya, kain cindai dikatakan mempunyai keistimewaan tersendiri selain digunakan sebagai senjata kerana kekukuhannya.

Misalnya, kain cindai digunakan secara menyebat, mencekik, menyambar anggota badan lawan dan mengunci atau mengikat pergerakan lawan.

Dalam kesusasteraan Melayu, kain cindai digunakan oleh Hang Jebat bagi membalut luka sebelum turun mengamuk. Hang Jebat dikatakan mati selepas bebatan kain cindai dibuka oleh Hang Tuah.

Pembuatan kain Cindai memerlukan kepakaran menenun yang tinggi dan ia menyebabkan jumlah yang dihasilkan terhad tetapi mendapat permintaan tinggi.

Hal ini menyebabkan harganya tinggi dan menjadi simbol status sebagai bangsawan dan hartawan. Terengganu pernah terkenal sebagai lokasi penghasilan kain cindai atau limar pada abad ke-19. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button