NasionalParlimen

Sektor akuakultur ikan marin dan ikan air tawar jadi sektor utama tingkat SSR

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berhasrat untuk menjadikan sektor akuakultur ikan marin dan air tawar sebagai salah satu sektor utama untuk meningkatkan kadar sara diri (SSR) dan pendapatan penternak.

Hasrat ini selari dengan agenda pemerkasaan industri akuakultur yang telah digariskan sebagai salah satu daripada 5 hala tuju dan fokus Kementerian mulai tahun 2023.

“Bagi memastikan hasrat ini tercapai dan subsektor akuakultur ikan air tawar menjadi industri yang berdaya saing hingga menjadi salah satu sumber utama pendapatan kepada penduduk tempatan, Kementerian melalui Jabatan Perikanan Malaysia telah merangka strategi,” kata KPKM ketika menjawab soalan lisan di Parlimen, hari ini.

Salamiah Mohd Nor (Temerloh) meminta Menteri KPKM menyatakan apakah usaha yang dilakukan oleh Kementerian untuk memastikan penternakan ikan air tawar menjadi salah satu sumber utama pendapatan kepada penduduk tempatan.

Strategi yang digariskan oleh KPKM adalah seperti berikut:

  • Penyusunan Semula Kawasan Akuakultur dan Pemantapan Aktiviti Ternakan Ikan Air Tawar dengan memberi fokus kepada peningkatan pengeluaran akuakultur air tawar:
  • Antara spesies utama termasuklah patin, tilapia, dan keli dengan sasaran pengeluaran pada tahun 2025 berjumlah 150,000 tan metrik dan tahun 2030 berjumlah 214,000 tan metrik;
  • Pelaksanaan Projek Integrasi Akuakultur (PPIA) yang memfokuskan usaha bagi membangunkan sistem sangkar 3 bersepadu yang akan menyumbang kepada peningkatan pengeluaran akuakultur: Melalui pelaksanaan projek ini juga dapat menambah 2,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2025 dengan sasaran pengeluaran 15,000 tan metrik;
  • Pemberian bantuan secara in-kind (peralatan dan input perikanan), pensijilan amalan baik serta menggalakkan dan memperluaskan penggunaan teknologi dalam akuakultur;
  • Pemerkasaan Pelan Pembangunan Baka dan Benih Akuakultur bagi mengatasi isu kebergantungan benih dan induk import: Contohnya seperti di Negeri Pahang – Jabatan Perikanan merancang untuk membangunkan hatcheri ikan patin di setiap Daerah. Bagi peringkat permulaan, dua buah hatcheri ikan patin sedang dalam proses pembangunan di daerah Pekan, Pahang;
  • Kemudahan kredit melalui institusi-institusi kewangan kepada pengusaha akuakultur air tawar seperti Agrobank yang menawarkan pelbagai skim kredit kewangan;
  • Meningkatkan pengetahuan dan kemahiran tenaga kerja tempatan melalui penawaran kursus dan program kemahiran teknikal bagi membantu menghasilkan pelbagai produk inovasi yang berasaskan ikan air tawar untuk dikomersilkan;
  • Melaksanakan program untuk mempromosikan dan memasarkan produk perikanan bagi membantu pengusaha akuakultur air tawar memasarkan hasil ternakan melalui Pejabat Perikanan Negeri dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di outlet pemasaran seperti Pasar Tani Kekal. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button