Nasional

Semua sekolah di zon merah ditutup 14 hari mulai esok

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mengarahkan semua sekolah yang terletak dalam kawasan zon merah akibat penularan Koronavirus (Covid-19) ditutup mulai esok.

Arahan penutupan tersebut selaras dengan perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam untuk menutup sekolah yang disahkan berada dalam zon merah.

Penutupan itu juga ekoran kebimbangan ibu bapa terhadap anak-anak yang bersekolah dalam zon merah dan berisiko mendapat jangkitan pandemik tersebut.

Kawasan yang disahkan sebagai zon merah setakat ini adalah daerah di Sabah seperti Sandakan, Papar dan Tuaran serta di Selangor iaitu Klang.

Sebanyak 384 sekolah yang terlibat akan ditutup termasuk kolej vokasinal dan sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM diarahkan tutup mulai 8 hingga 23 Oktober.

“Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid yang tinggal di asrama untuk pulang.

“Walau bagaimanapun, murid yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah dan Kolej Vokasional sepanjang tempoh penutupan sekolah akan berada di bawah penjagaan warden.

“Keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah.”

Demikian kata KPM dalam satu kenyataannya hari ini berhubung risiko penularan Covid-19 dalam kalangan pelajar sekolah di kawasan zon merah.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut turut memaklumkan sesi pembelajaran dan pengajaran (PDP) akan berjalan menerusi dalam talian (online).

Sementara sekolah yang sedang melaksanakan peperiksaan percubaan umum seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikehendaki menjadualkannya semula.

“Dalam tempoh penutupan sekolah, pengetua dan guru besar akan memastikan guru-guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian masing-masing.

“Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my.

“Dalam hal ini, KPM sentiasa memantau situasi di seluruh negara sentiasa bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sebarang pemakluman berhubung penutupan sekolah bagi daerah-daerah lain akan dibuat dari semasa ke semasa,” maklumnya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan kes jangkitan terbaharu adalah 489 orang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 13,993.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 3,351 orang. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button