Nasional

Sekatan pergerakan sepenuhnya tidak akan dilaksanakan – Tengku Zafrul

Walaupun senario terburuk berlaku di Malaysia

MENTERI Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memberi jaminan Malaysia tidak akan melaksanakan sekatan pergerakan sepenuhnya ke atas ekonomi walaupun berlaku senario terburuk.

Beliau berkata, sebaliknya kerajaan akan terus menumpu menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat sekiranya jumlah kes Covid-19 di negara ini terus meningkat.

“Berdasarkan kepada model semasa kami percaya bilangan kes akan menurun. Seandainya senario terburuk berlaku, kami tidak akan melaksanakan sekatan pergerakan sepenuhnya ke atas ekonomi. Kami akan terus menumpukan kepada SOP yang lebih ketat,” katanya dalam satu program temu bual bersama CNBC hari ini.

Tengku Zafrul berkata demikian sebagai menjawab soalan apakah kerajaan akan menutup sektor tertentu atau sektor manakah yang diberi keutamaan untuk ditutup sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) terpaksa dilanjutkan atau pembekalan vaksin Covid-19 tidak berjalan lancar seperti yang dijangkakan.

Beliau berkata, sekiranya jumlah kes terus meningkat, isu-isu utama seperti kepatuhan dan penguatkuasaan SOP perlu ditangani.

Semalam, Malaysia merekodkan 4,094 kes baharu Covid-19 menjadikan setakat ini jumlah jangkitan di negara ini sebanyak 198,208 kes.

Dalam wawancara yang sama juga, Tengku Zafrul menolak pandangan kenaikan ringgit berbanding dolar AS ketika ini akan memberi impak kepada prestasi eksport.

“Ya, sememangnya ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika dan mata wang lain tetapi perdagangan global diunjur berkembang kira-kira lapan peratus pada 2021 berbanding 2020 dan Malaysia berpeluang untuk meraih manfaat daripadanya.

“Dan saya percaya prestasi ringgit itu tidak akan memberi impak negatif kepada eksport,” katanya. – SUMBER BERNAMA – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button