Oleh DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB
KETUA PEMBANGKANG
ADAKAH kerajaan hanya mementingkan Tahun Melawat Malaysia 2020 sehingga sanggup mempertaruhkan nyawa rakyat negara ini?
Walaupun kerajaan akhirnya akur dengan tekanan rakyat yang mahu sekatan terhadap pelancong dari China memasuki Malaysia apabila membuat keputusan menyekat pelancong dari Wuhan dan Hubei memasuki negara ini, adakah ini mencukupi?
Sepatutnya kerajaan menyekat semua pelancong dari China, bukannya secara memilih wilayah tertentu. Apatah lagi, wabak koronavirus ini telah merebak ke wilayah-wilayah lain di China.
Bahkan bukan itu sahaja. Wajar pada masa ini kerajaan membawa pulang rakyat Malaysia dari China sebagai langkah awal menjamin keselamatan mereka.
Ketika negara jiran sudahpun menghalang pelancong China memasuki negara mereka, sayangnya Malaysia mengambil tindakan yang masih diragui keberkesanannya.
Korea Utara, Rusia malah Beijing sendiri telah menyekat kemasukan pelancong China dari bandar-bandar dan wilayah lain bagi menangani penularan wabak ini. Betapa pantasnya tindakan yang diambil demi nyawa rakyat mereka.
Inilah seharusnya dicontohi oleh Malaysia. Namun malangnya kita masih mengambil pendirian dan keputusan yang berpilih-pilih wilayah tertentu.
Menteri Kesihatan dalam kenyataannya hari ini menyatakan tiada pesakit yang positif di Malaysia dari Wuhan kerana pihak berkuasa Wuhan telah menyekat rakyatnya keluar sejak 28 Januari lalu.
Namun terdapat tiga pesakit yang sedang dikuarantin di Johor yang bukan datang dari Wuhan tapi dari wilayah lain di China. Begitu juga di Langkawi dan pesakit yang didapati positif koronavirus di Malaysia semuanya dari wilayah luar Wuhan.
Ini bermakna wabak koronavirus telah pun merebak ke wilayah-wilayah lain di China selain dari Wuhan dan Hubei.
Maka tindakan kerajaan menyekat kemasukan pelancong dari Wuhan dan Hubei semata-mata tidak mencukupi.
Sehubungan itu, kita mahu kerajaan membuat sekatan visa terhadap semua pelancong dari negara China ke Malaysia.
Ini bagi memberi sekatan yang lebih bermakna bagi memastikan wabak tersebut benar-benar mampu disekat.
Difahamkan ramai pelancong dari Wuhan memasuki Sabah sebelum Wuhan menutup pintu kepada pelancong.
Adalah wajar pihak berkuasa mengesan pelancong China terbabit setelah kerajaan Filipina sendiri bertindak menghantar pulang 500 pelancong China.
Langkah mengesan pelancong China dan menyaring tahap kesihatan mereka harus dilakukan dan menghantar mereka pulang ke negara asal adalah tindakan yang wajar.
Pada masa sama, di negara ini masih banyak kedai yang menjual binatang eksotik untuk makanan malah ada restoran menjual masakan makanan eksotik. Pihak berkuasa harus mengambil tindakan tegas menutup kedai dan restoran berkenaan sebagai langkah mengawal wabak.
Justeru, sekat import haiwan dari China seperti kepak ayam dan haiwan-haiwan lain.
Selaku ahli parlimen dan mewakili rakyat sebagai Ketua Pembangkang, saya berharap kerajaan benar-benar serius menjaga nyawa rakyat Malaysia dengan tidak hanya melihat kepada pendapatan dari industri pelancongan semata-mata.
Kita harus mencegah sebelum ia menjadi parah.
Janganlah nanti sudah terhantuk baru tengadah. Jika ini terjadi ia sudah tidak berguna lagi.
– SM