SEMAKIN berani nampaknya scammer. Terbaharu, menggunakan wajah Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad pada gambar profil aplikasi WhatsApp.
Gambar profil menggunakan wajah Datuk Surina dan menggunakan nama Surina Aisyah.
Perkara ini terbongkar apabila mangsa mendedahkan perkara ini di laman sosial Facebook (FB) dalam grup AWAS Scam di Malaysia yang mempunyai pengikut berjumlah 2,551 orang.
Dalam status itu, ibu beranak dua ini mendakwa scammer ini menghubunginya kononnya dia ada kaitan dengan kes lelaki yang terlibat dengan dadah dan wang haram.
Disebabkan kes itu membawa hukuman berat maka panggilannya disambung kepada pegawai atasan polis bernama Surina Aisyah yang didakwa boleh membantu.
Sehinggalah dia yang mengaku bagai “dipukau” kemudiannya mengikut sahaja arahan “Surina Aisyah” ke mesin ATM untuk memasukkan wang berjumlah RM7,000 pada 2.40 petang, 28 Mei lalu.
Ibu ini mendakwa selepas itu dia diperintah “Surina Aisyah” supaya WhatsApp setiap sejam sehinggalah dia mula sedar menjadi mangsa scammer setelah WhatsApp tidak dibaca lagi pada waktu malam.
Mangsa membuat semakan di https://semakmule.rmp.gov.my/ ternyata ternyata nombor akaun bank itu telah ada dalam laporan polis.
Dalam status itu, ibu berkenaan hanya meminta ahli grup untuk membantunya yang merasakan ditipu scammer tetapi tidak berani untuk memberitahu suami dan ahli keluarga.
Sementara itu, Surina hanya mengetahui kejadian ini setelah ditag oleh kakitangannya.
Dalam balasan pada komen itu, Surina berkata “berani sungguh guna gambar lama saya, tindakan lanjut akan diambil”.
Sementara itu, Surina ketika dihubungi berkata, beliau mendapat tahu menggenai perkara ini sejak semalam.
Malah beliau telah memaklumkan kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah untuk tindakan lanjut.
Manakala Ketua Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Asisten Komisioner Wari Kiew berkata, setakat belum ada laporan rasmi diterima.
“Sekarang polis sedang mengesan individu yang menggunakan gambar Ketua Polis Negeri ini,” katanya ketika dihubungi. – SM