Nasional

Perintah Profesion Kesihatan Bersekutu (Pindaan Jadual Kedua) 2022 telah diwartakan

Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia (MPKBM) ingin memaklumkan bahawa Perintah Profesion Kesihatan Bersekutu (Pindaan Jadual Kedua) 2022 telah diwartakan dan mula berkuatkuasa pada 24 Mac 2022.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jadual Kedua [2022] baharu ini menyenaraikan sebanyak 16 Profesion Kesihatan Bersekutu untuk dikawalselia di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 [Akta 774].

Jadual Kedua [ 2022] ini akan mengantikan Jadual Kedua [2016] yang menyenaraikan 23 profesion sebelum ini. Senarai 16 Profesion Kesihatan Bersekutu yang akan dikawal di bawah Akta 774 adalah seperti berikut:-

  1. Ahli Audiologi
  2. Ahli Dietetik
  3. Ahli Entomologi (Kesihatan Awam)
  4. Ahli Fisioterapi
  5. Ahli Fizik Perubatan
  6. Ahli Pemakanan
  7. Ahli Psikologi Klinikal
  8. Ahli Radiografi Diagnostik
  9. Ahli Sains Makmal Perubatan
  10. Ahli Terapi Cara Kerja
  11. Ahli Terapi Pertuturan – Bahasa
  12. Ahli Terapi Radiasi
  13. Juruteknologi Makmal Perubatan
  14. Juruteknologi Pergigian
  15. Pegawai Kesihatan Persekitaran
  16. Pegawai Pendidikan Kesihatan.

“Selaras dengan perkembangan perkhidmatan kesihatan bersekutu di Malaysia, polisi perkhidmatan awam dan perubahan teknologi serta trend semasa di peringkat antarabangsa, majlis telah membuat keputusan untuk meminda Jadual Kedua [Akta 774].

“Antara pindaan yang ketara adalah dengan mengklusterkan Ahli Sains Klinikal (Biokimia), Ahli
Sains Klinikal (Bioperubatan), Ahli Sains Klinikal (Embriologi), Ahli Sains Klinikal (Genetik Perubatan), Ahli Sains Klinikal (Mikrobiologi) dan Pegawai Sains Forensik di bawah satu profesion Ahli Sains Makmal Perubatan.

“Majlis juga melalui Mesyuarat Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia ke-5 (Bil. 1/2022) telah bersetuju menetapkan beberapa perkara berkaitan dengan polisi pendaftaran pengamal kesihatan bersekutu.

“Di antara polisi-polisi yang telah ditetapkan adalah tarikh permulaan pendaftaran pengamal profesion kesihatan bersekutu, tempoh peralihan pendaftaran bagi pengamal, standard kelayakan akademik dan kelulusan permohonan pendaftaran serta Kod Etika dan Tatakelakuan Profesional.

“Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia telah menetapkan bahawa tarikh permulaan pendaftaran bagi pengamal Profesion Kesihatan Bersekutu adalah pada 1 Julai 2022 dan tempoh peralihan bagi pendaftaran pengamal kesihatan bersekutu adalah untuk tempoh tiga tahun bermula pada 1 Julai 2022 hingga 30 Jun 2025 (tertakluk kepada keputusan Majlis).

“Majlis juga telah menetapkan bahawa pendaftaran pengamal kesihatan bersekutu akan dilaksanakan secara  penggiliran mengikut jadual yang akan dimaklumkan kemudian.

“Permohonan Perakuan Pendaftaran dan Perakuan Amalan akan dijalankan secara dalam talian sepenuhnya dengan menggunakan aplikasi Malaysian Healthcare Practitioners’ System (MHPS).

“Permohonan Perakuan Amalan dijangka hanya akan bermula pada bulan November 2022, manakala bagi permohonan Perakuan Amalan Sementara untuk pengamal (bukan warganegara) akan dilaksanakan secara manual.

“Sesi taklimat bagi menerangkan perkara-perkara berkaitan dengan polisi pendaftaran pengamal kesihatan bersekutu akan dilaksanakan secara berperingkat bermula pada bulan Jun 2022.

“Garis panduan yang  berkaitan pendaftaran dan amalan kesihatan bersekutu akan dikeluarkan oleh Majlis dari semasa ke semasa mulai Julai 2022 untuk dijadikan rujukan semasa oleh pengamal.

“Adalah diharapkan dengan bermulanya pendaftaran bagi pengamal Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia akan dapat memartabatkan Profesion Kesihatan Bersekutu dan menjamin penyampaian perkhidmatan kesihatan yang selamat dan berkualiti di Malaysia.

“Sebarang maklumat lanjut berkaitan pendaftaran pengamal dan penguatkuasaan Akta ini, sila hubungi Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu, Kementerian Kesihatan Malaysia di [email protected] atau Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia di [email protected].” katanya.

(Visited 477 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button