Saya tidak masuk senarai – Anwar
“SAYA tidak masuk senarai,” itu reaksi ringkas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika diminta mengulas mengenai namanya disebut sebagai pengganti Dr. Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Emas kepada Murid-Murid Cemerlang UPSR SJKT Selangor di Serdang hari ini.
Ekoran peletakan jawatan oleh Dr. Maszlee nama Anwar antara yang disebut dan dicadangkan untuk mengisi kekosongan jawatan itu.
Bagaimanapun Anwar memberi penghargaan kepada Dr. Maszlee kerana melaksanakan beberapa pembaharuan sepanjang 20 bulan menerajui Kementerian Pendidikan.
Namun kata Anwar, beliau agak terkilan kerana apa yang dilakukan oleh Dr. Maszlee itu banyak dibayangi isu kontroversi.
Mengenai masa depan bekas Menteri Pendidikan itu dalam politik Anwar berkata, itu bukan penamat kerjaya politiknya.
“Beliau masih muda. Perdana Menteri berhenti patah balik, saya pun patah balik. Bukan soal itu tetapi kesungguhan dan konsistensi,” katanya. -SM