Nasional

Kalau tarif tak naik, akan hadapi masalah air

MANA-MANA negeri yang tidak bersetuju melaksanakan kenaikan kadar tarif air diminta mengemukakan mekanisme masing-masing kepada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli sebagai usaha menyediakan air bersih terawat untuk rakyat.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Datuk Dr Xavier Jayakumar berkata ini kerana kos penyediaan dan menguruskan air terawat adalah tinggi dan langkah penyelesaian perlu diambil bagi menangani krisis gangguan air di negeri terbabit.

“Semua orang kena faham industri air mesti ada bajet yang besar supaya kita dapat pastikan rakyat dapat bekalan air (bersih) 24 jam sehari dan 365 hari setahun.

“Bila kita ada bajet yang cukup kita mampu sediakan infrastuktur untuk menguruskan operasi air selain dapat menangani masalah kekurangan bekalan air, jadi negeri yang tidak bersetuju kena bawa mekanisme kepada kementerian bagaimana mereka dapat mengatasi masalah itu, ” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Restorasi, Tebus Guna dan Rehabilitasi melalui penanaman pokok di Taman Botanik, di Klang hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian kerajaan Negeri Sembilan semalam, yang tidak akan menaikkan kadar tarif air.

Semalam, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dilaporkan berkata perkara itu seperti yang terkandung dalam manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), bahawa tiada kenaikan tarif air dalam tempoh lima tahun.

Mengulas lanjut, Xavier berkata beberapa negeri telah bersetuju dengan cadangan kementerian untuk menaikkan kadar tarif air tersebut dan perkara itu akan dibawa ke kabinet untuk kelulusan sebelum diumumkan dalam tempoh terdekat.

“Kalau kita tidak mula sekarang (menaikkan kadar tarif air), kita akan hadapi masalah air dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai program Restorasi, Tebus Guna dan Rehabilitasi tersebut, beliau berkata kementeriannya menyasarkan 100 juta pokok akan ditanam di seluruh negara dalam tempoh lima tahun.

Langkah itu, katanya, dibuat bagi menunjukkan komitmen Malaysia dalam memelihara sumber asli dan alam sekitar.

“Program ini dibuat seiring dengan Hari Hutan Sedunia dan di bawah program ini juga kita telah kenal pasti kawasan seluas 4,750 hektar sebagai hutan terosot untuk dipulihkan.

“Menerusi penanaman pokok ini, kita akan tumpu kepada penanaman pokok-pokok hutan yang ikonik termasuk merbau yang keunikannya akan dihayati,” katanya. – BERNAMA

(Visited 133 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button