DATUK Dr. Ibrahim Ali mendakwa menerima salinan dokumen membabitkan salah laku di dalam Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) yang dimasukkan ke dalam peti surat kediamannya baru-baru ini.
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) itu berkata, bersama dokumen itu turut dilampirkan salinan surat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengarahkan MBI menjalankan siasatan terhadap Ketua Pegawai Operasi Syarikat (COO) MBI, Soffan Afendi Aminuddin.
“Ini perkara yang serius kerana apabila saya teliti Sofffan dikaitkan dengan salah laku dan kecuaian menyebabkan kerugian RM50 juta.
“Salah laku itu membabitkan rundingan hartanah dengan sebuah syarikat yang membiayai majlis yang turut dihadiri oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,” katanya.
Sehubungan itu Ibrahim menggesa Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari memberi penjelasan berhubung dakwaan salah laku yang berlaku itu.
Menurut salinan surat SPRM yang diterima Ibrahim bertarikh 15 Julai tahun itu, SPRM memaklumkan laporan penyiasatan berhubung perjanjian antara Kemudi Ehsan Sdn Bhd dan MBI membabitkan tanah-tanah lot Mukim Ijok Daerah Kuala Selangor.
Hasil siasatan SPRM mendapati tanah-tanah lot itu dijual di bawah harga pasaran dan kecuaian COO telah mengakibatkan kerugian RM50 juta.
SPRM dalam suratnya memaklumkan kecuaian berkenaan adalah perakara serius bagi seorang COO MBI yang juga ahli lembaga Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).
Menerusi surat itu, SPRM meminta MBI segera mengkaji semula perjanjian yang dimeterai dengan membuat satu siasatan dalaman dan tindakan perlu diambil sekiranya ada pelanggaran peraturan memandangkan ia membabitkan wang rakyat.
Pihak SPRM juga memohon supaya laporan siasatan dalaman MBI tersebut dipanjangkan kepada agensi penguatkuasa tersebut.
Mengulas lanjut Ibrahim yang juga Presiden Perkasa menuntut penjelasan sama ada MBI telah menjalankan siastan dalaman dilakukan seperti mana saranan SPRM.
“Jika tidak, ia sesuatu yang amat menghairankan kenapa proses siasatan dalaman yang bebas dan telus ke atas Soffan masih belum dimulakan MBI.
“Apakah ada campur tangan individu tertentu? Saya tidak buat tuduhan, tapi saya mendesak SPRM menyiasat COO secara telus kerana beliau COO dan ini sesuatu yang serius, saya hanya membantu mendesak kearah usaha memerangi salah guna kuasa dan rasuah yang tidak terkecuali terhadap sesiapa.
“Jangan ada mana-mana pihak membuat tuduhan sehingga SPRM betul-betul siasat secara telus dan saya tidak boleh berdiam diri apabila menerima maklumat misteri ini,” katanya.
Ibrahim berkata beliau akan menghantar dokumen yang diterimanya itu kepada SPRM dan mendesak supaya siasatan telus diadakan.