“Saya akan hadir” – Wadi
SHAH ALAM – Pendakwah bebas, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub menyatakan bahawa beliau akan memberi kerjasama penuh kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs)mengenai siasatan berhubung program sembang santai yang dihadirinya di negeri berkenaan baru-baru ini.
Justeru, Ustaz Wadi berharap siasatan yang dijalankan akan berjalan dengan lancar, adil dan telus tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.
“Saya dengan izin ALLAH SWT mengesahkan melalui barisan peguam untuk hadir pada 2 Mei ini ke JAIPs.
“Semua proses undang-undang akan saya hormati. Saya menegaskan supaya hak untuk mendapatkan keadilan juga dihormati sepenuhnya.
“Saya juga menggesa semua pihak yang tidak ada kaitan dengan JAIPs yang menjalankan siasatan ini supaya menahan diri daripada mencampuri urusan di luar bidang kuasa mereka yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, JAIPs menegaskan akan meneruskan siasatan terhadap Ustaz Wadi pada 2 Mei depan berhubung dakwaan memberi ceramah tanpa tauliah di negeri ini.
Pengarah Jabatan Hal Ehwalnya, Najmuddin Abdul Karim berkata, ia susulan penangguhan sesi berkenaan yang sepatutnya berjalan pada 17 April lalu.
Dalam pada itu, Ustaz WadiWadi menambah, sebarang bentuk provokasi dan tangkapan yang tidak sepatutnya akan dihadapi dengan peruntukan undang-undang.
“Semoga ALLAH SWT menzahirkan kebenaran kepada semua. Kepada ALLAH SWT saya berserah,” ujar beliau.