Satu demi satu MP UMNO tampil tidak mahu bersama Anwar
HARAPAN Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri ke-9 menerusi sokongan majoriti ahli Parlimen nampaknya semakin samar-samar.
Pemimpin-pemimpin UMNO dalam senarai nama yang dikeluarkan oleh portal The Coverage kononnya menyokong Anwar, menafikan sekeras-kerasnya mahu menjadi sebahagian daripada kerajaan yang dipimpin oleh Ahli Parlimen Port Dickson itu.
Ahli Parlimen Tanjong Karang, Noh Omar, secara sinis mengucapkan ‘terima kasih’ kerana Anwar mengingatinya dan menyenaraikan dia sebagai Menteri Kerja Raya.
“Nasib baik saya tidak ada darah tinggi, kalau tidak mahu saya pengsan. Bincang apa pun tidak, tiba-tiba nama saya ada,” katanya.
Ahli Parlimen Parit, Nizar Zakaria yang juga berada dalam senarai palsu itu, menyifatkan Anwar terkena “sindrom Sept”.
“Asal bulan September sahaja dia cakap ada majoriti, dulu pun begitu.
Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abd Rahman jugamenafikan dia memberikan sokongan kepada Anwar.
“Anwar ini sebenarnya terkenal dengan sandiwara, dulu 16 September dia (dakwa) mempunyai angka untuk membentuk kerajaan tetapi gagal.
“Jadi kita tidak terkejut dengan sandiwara dia, bagaimanapun kalau betul dia mempunyai angka, ia tidak automatik membentuk kerajaan dan menjadi perdana menteri,” katanya kepada portal berita Umno Online.
Turut menafikan menyokong Anwar adalah Ahli Parlimen Cameron, Ramli Mohd Nor.
“Saya, Ramli Mohd Nor, anggota Parlimen Cameron Highlands dari Umno, menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya pernah atau terlibat menyokong gerakan penubuhan kerajaan baru yang diketuai oleh anggota Parlimen Port Dickson, seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita dalam talian. Jauh panggang dari api,” tulisnya di Facebook.
Ahli Parlimen Padang Terap yang juga Naib Presiden Umno, Mahdzir Khalid, juga menafikan dia terbabit untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Saya, Mahdzir bin Khalid, Ahli Parlimen Padang Terap dan Naib Presiden UMNO, menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya pernah atau terlibat menyokong gerakan penubuhan kerajaan baru yang diketuai oleh Ahli Parlimen Port Dickson seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita dalam talian,” tulisnya di Facebook.-SM