Politik

Satira bukan jenayah kata pemimpin DAP, mahu Fahmi dibebaskan

BEBERAPA pemimpin DAP tampil menyuarakan solidariti terhadap pereka grafik Fahmi Reza yang telah ditahan oleh polis berkaitan hantaran yang melibatkan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menurut mereka karya yang dihasilkan oleh Fahmi merupakan satu bentuk satira politik dan ianya bukan satu jenayah.

Mereka turut mempertahankan Fahmi untuk berkarya kerana menurut mereka seni juga bukan satu bentuk jenayah. Berkongsi di media sosial masing-masing mereka mahu agar Fahmi dibebaskan.

Ahli Parlimen DAP Klang Charles Santiago berkata, satira yang dihasilkan oleh Fahmi adalah hasil komen daripada Tunku Azizah sendiri.

“Dalam solidariti dengan Fahmi. ‘Memilih untuk menyenaraikan senarai lagu ‘Ini Dengki Ke” difahamkan sebagai sindiran atas komen Instagram oleh Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah,” katanya.

Ahli Parlimen DAP Kulai yang juga bekas Timbalan Menteri Pelajaran Teo Nie Ching turut menyatakan soladiriti terhadap Fahmi. Dia berkongsi tanda pagar #releasefahmi, #bebasfahmi dan #satireisnotacrime.

Ahli Parlimen DAP Bandar Kuching Kelvin Yii Lee Wuen pula berpandangan satira dan seni yang dihasilkan oleh Fahmi bukan satu bentuk jenayah.

“20 anggota polis datang untuk memecah pintu rumah Fahmi Reza petang ini dan membawanya ke IPD Dang Wangi. Satira bukan jenayah. Seni bukan jenayah,” kata Kelvin.

Sementara ADUN DAP Kampung Tunku Lim Yi Wei pula berkata, idea yang dilontarkan adalah ‘kebal peluru’.

“Di sebalik topeng ini ada lebih dari sekadar daging. Di bawah topeng ini ada idea dan idea-idea kebal peluru. Petang ini, polis datang untuk memecah pintu Fahmi Reza dan membawanya ke IPD Dang Wangi. Satira bukan jenayah.
Seni bukan jenayah. Solidariti dengan #FahmiReza,” katanya.

Setiausaha Pemuda DAP Kebangsaan Teh Hoong Kiat pula mahu Fahmi dibebaskan dengan menegaskan satira politik merupakan seni untuk menyatakan isu semasa.

“Bebas Fahmi Reza. Satira politik bukan jenayah, ia satu bentuk seni menyatakan isu semasa,” katanya.

Fahmi yang tidur dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi malam tadi akan dibawa ke mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini bagi permohonan reman di bawah Seksyen 11 Kanuan Prosedur Jenayah bagi siastan lanjut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, pereka grafik itu disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Polis Diraja Malaysia telah menerima laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook Fahmi Reza yang didapati menghina Raja Permaisuri Agong.

“Suspek telah memuat naik satu hantaran dipautan Facebook yang mengandungi sekeping gambar Raja Permaisuri Agong berserta kenyataan berbunyi ‘This Is Dengki Ke? 100 dengki songs all in one playlist.

“Suspek turut memuat naik satu link di Spotify yang menyenaraikan lagu-lagu yang mengandungi perkataan ‘jealousy’ berserta gambar Raja Permaisuri Agong yang tertera perkataan ‘This Is Dengki Ke’,” katanya dalam satu kenyataan media.-SM

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button