Sasaran pelaburan RM58 bilion tahun ini boleh dicapai susulan keyakinan pelabur
SASARAN pelaburan sebanyak RM58 bilion bagi tahun ini mampu dicapai berdasarkan keyakinan pelabur meneruskan operasi perniagaan mereka di negara ini, kata Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (MTE), Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.
Beliau berkata, berdasarkan data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Malaysia setakat ini telah berjaya mencapai 60 peratus daripada jumlah pelaburan yang ditetapkan itu.
“Walaupun ekonomi negara masih belum pulih sepenuhnya, namun kita menyaksikan tanda-tanda pemulihan baik dari sektor domestik mahupun pelaburan luar negara.
“Keyakinan bahawa pelabur dari sektor pengilangan dan pembuatan untuk kembali aktif menyambung aktiviti mereka selepas pandemik COVID-19 telah menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Sepang Aircraft Engineering Sdn Bhd dan Airbus Malaysia Customer Services Sdn Bhd, hari ini.
Noor Azlan berkata pemulihan ekonomi juga dilihat dalam sektor pembuatan yang mencatat peningkatan dengan 94 permohonan lesen setakat Julai 2020, yang bakal mewujudkan 9,238 peluang pekerjaan berbanding 15 permohonan pada April 2020.
Transformasi sektor pembuatan untuk beralih kepada automasi dan pendigitalan juga menjamin ia untuk kekal relevan dalam industri.
“Transformasi berkenaan disifatkan sebagai perubahan landskap yang kekal sifatnya kini mengikut arus masa, mengubah sistem pengurusan mereka seperti bekerja di rumah dengan pendigitalan dan teknologi automasi yang digunakan adalah respon daripada sektor berkenaan,” katanya.
Sementara itu, katanya, sektor utama lain yang turut beransur pulih adalah elektrik dan elektronik, pembuatan makanan, mesin dan peralatan, pengangkutan serta pembuatan logam.
“Tanda-tanda pemulihan sedang berlaku pada sektor-sektor (yang dinyatakan) ini dan MTE akan memantau dan memastikan ekonomi bagi sektor berkenaan dan yang lainnya akan terus berkembang baik,” katanya.
Noor Azlan berkata perbincangan dan sesi libat sama yang diadakan antara MTE dengan pelbagai sektor pengilangan serta pembuatan adalah bagi memahami lebih mendalam cabaran yang dihadapi dalam usaha memulihkan semula ekonomi negara dan mendepani pandemik COVID-19.
“Segala hasil daripada segi libat sama itu akan dibawa kepada mesyuarat mingguan MTE bersama Perdana Menteri,” tambahnya. – BERNAMA