Sandiwara politik Bersatu guna PH, PN korbankan DAP – Nur Jazlan
DATUK Nur Jazlan Mohamed hari ini melontarkan satu persoalan sama ada pemecatan Tun Dr. Mahathir Mohamad dari Parti BERSATU merupakan suatu sandiwara untuk mencetuskan pilihan raya umum (PRU) ke-15 demi kepentingan peribadi bekas Perdana Menteri ketujuh itu dan presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menarik perhatian hal itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu berkata, dengan itu akhirnya BERSATU akan kekal berkuasa tanpa mengira siapa yang menang.
Beliau mendakwa, perkara itu tidak mengejutkan kerana hakikatnya, Perikatan Nasional (PH) yang dipimpin Muhyiddin dan Pakatan Harapan (PH) diketuai Dr. Mahathir sekarang adalah pengasas BERSATU.
Apatah lagi, katanya, perkembangan politik pecah belah menuju ke sidang Parlimen 13 Julai ini menampakkan kesempitan jalan kehadapan untuk BERSATU.
“Tan Sri Muhyidddin yang amat bergantung kepada `personaliti tikam belakang bekas UMNO’ cuba mengelakkan PRU yang bakal menghancurkan mereka.
“Setelah gagal untuk memecahbelahkan sekutu PN, BERSATU pimpinan beliau sekarang ini nampaknya berjaya memecahbelahkan PH dengan menggunakan Dr. Mahathir untuk memaksa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saki baki PKR meninggalkan PH.
“Tindakan parti yang menyalahgunakan nama BERSATU sebagai perjuangan politik mereka inintelah menyebabkan keresahan pemimpin DAP yang sedar penipuan mereka untuk memecahbelahkan orang Melayu di PRU-14 telah gagal dan bakal mengorbankan mereka dan sekutunya Parti Amanah.
“Pemimpin DAP teratas yang senyap sunyi sekarang tahu bahawa DAP akan dipinggirkan semula untuk kembali menjadi pembangkang tunggal seperti tahun 80-an dulu sekiranya Muhyiddin berjaya menarik sokongan Anwar,” kata beliau kepada Suara Merdeka hari ini.
Nur Jazlan berkata, Dr. Mahathir kini seolah-olah telah mengambil alih PH dengan kenyataan solo seperti mengumumkan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebagai calon PM ke-9 manakala anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai calon Timbalan Perdana Menteri PH II untuk PRU-15.
“Tindakan DAP menyokong Dr. Mahathir sebagai ketua PH yang tidak berparti ini menyebabkan orang Cina meluat dan menolak DAP yang cakap tak serupa bikin selepas menikmati kuasa selepas PRU-14,” katanya.
Nur Jazlan berkata, suasana politik sekarang terlalu cacamarba yang memerlukan PRU untuk mencari penyelesaian.
“Sayangnya, hanya UMNO yang berani menuntut mandat dipulang kepada rakyat.
“Persoalannya, adakah parti pelengkap seperti BERSATU akan memimpin negara ini selepas PRU-15?,” katanya.
Dalam hal ini, kata beliau, pengundi terpaksa memilih antara Perikatan Nasional (PN) atau PH pada PRU-15 jika kedua-duanya masih kekal pada waktu itu.-SM