Ekonomi

Samsung lancar pensteril UV Covid-19 untuk telefon pintar

TEKNOLOGI yang canggih! Samsung Electronics Co hari ini memaklumkan, akan melancarkan pensetrilan cahaya ultraungu (UV) untuk telefon pintar bagi memenuhi keperluan pembasmian kuman peranti mudah alih yang semakin meningkat berikutan pandemik Covid-19.

Samsung memaklumkan, pensteril UV baharu itu dilengkapi pengecas tanpa wayar yang akan dijual pada harga 49,500 won (US$40) di Korea Selatan, lapor agensi berita Yonhap.

Peranti terbaharu itu, katanya, dihasilkan Samsung C&T, rakan kongsinya dalam Program Kerjasama Aksesori Telefon Mudah Alih Samsung, tambah syarikat teknologi itu.

Samsung menambah, pensteril UV mudah alihnya dapat membasmi kuman pada pelbagai barangan, daripada telefon pintar sehingga gelas dalam tempoh 10 minit.

“Pensetril UV secara berkesan membunuh hingga 99 peratus bakteria dan kuman.

“Ia mempunyai dua cahaya UV yang mensteril permukaan atas dan bawah barang yang diletakkan di dalamnya,” ujar Samsung.

Samsung juga memaklumkan bahawa peranti itu sudah tersedia di negara-negara seperti Jerman dan Belanda dan akan dilancarkan di negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS) tidak lama lagi.

Sementara itu, menurut sumber industri, Samsung baru-baru ini telah mendaftar satu paten dinamakan ‘lapisan antimikrob’ untuk sarung dan penutup telefon pintar di negara seperti Korea Selatan, Sepanyol dan Itali supaya alat mudah alih mereka bebas kuman.

Beberapa pengulas IT menjangkakan sarung telefon pintar bersalut antimikrob Samsung itu nanti dapat diperkenalkan bulan depan ketika syarikat itu melancarkan phablet Galaxy Note 20. – BERNAMA – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button