Aksi solo Muhyiddin
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bertanggungjawab ke atas semua kementerian dan jabatan kerajaan sehingga pelantikan menteri kabinet, kata warta Kerajaan Persekutuan.
Warta yang ditandatangani pada hari Selasa oleh Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali, juga menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong, menurut Artikel 43 Perlembagaan Persekutuan, telah melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
“Perintah ini disifatkan telah mula beroperasi pada 01 Mac 2010,” kata notis yang dimuat naik di laman web Jabatan Peguam Negara.
“Telah dimaklumkan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin (Yassin) akan bertanggungjawab atas semua jabatan Kerajaan Persekutuan dan yang mana jabatannya bertanggungjawab sehingga pelantikan menteri lain dalam Kabinet . ”
Perdana Menteri dalam hantaran facebook memaklumkan mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan dan Kementerian Luar Negeri.
Dalam pertemuan itu, KSU Kementerian Pendidikan, Dato’ Dr. Mohd. Gazali Abas memberi penerangan mengenai perkembangan sektor pendidikan negara termasuk statistik pencapaian terkini dan cadangan untuk mempertingkatkan bidang ini.
Dato’ Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dari Kementerian Luar Negeri, pula memaklumkan tentang keadaan semasa hubungan Malaysia dengan negara-negara lain, di samping jalinan kerjasama serta persidangan penting yang akan berlangsung tahun ini.
Selain itu Muhyiddin turut menerima kunjungan Mufti Wilayah Persekutuan Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac, banyak cakap-cakap tentang pembentukan kabinet, bagaimanapun Muhyiddin kelihatan tidak terburu-buru untuk berbuat demikian.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyerahkan kepada kebijaksanaan Muhyiddin untuk memilih senara menteri kabinetnya.
Banyak pihak mendesak supaya kabinet yang dibentuk supaya bebas daripada individu yang sedang berdepan dengan sebarang tindakan mahkamah.
Langkah itu adalah penting untuk memelihara integriti kerajaan yang akan dibentuk.
Muhyiddin dipilih sebagai perdana menteri selepas mendapat sokongan oleh partinya Bersatu, UMNO, PAS, serpihan PKR, GPS, MCA selepas kerajaan PH runtuh berikutan peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
Hasrat Dr. Mahathir adalah untuk membentuk barisan kabinet perpaduan iaitu tidak berasaskan parti tetapi berlandaskan kebolehan.
Bagaimanapun ia ditentang oleh para pemimpin utama politik yang menekan supaya kemasukan ke dalam kerajaan secara en-bloc dan bukan individu tertentu sahaja.
Muhyiddin kemudiannya membawa keluar Bersatu daripada PH dan diikuti oleh 11 ahli parlimen dari PKR yang diketuai oleh Datuk Seri Azmin Ali.
Dr. Mahathir kini bersama-sama dengan PH yang menjadi blok pembangkang terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah.
Kemelut politik ini dijangka berpanjang apabila blok pembangkang akan mengusulkan undi tidak percaya apabila Dewan Rakyat bersidang nanti, kerana mendakwa turut mempunyai cukup ahli parlimen untuk membentuk kerajaan.
Jika itu berlaku dan Muhyiddin selaku Perdana Menteri boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen bagi membolehkan pilihan raya diadakan.
Pilihan raya sepatutnya diadakan sekitar tiga tahun lagi setelah PH memenangi pilihan raya kira-kira 22 bulan lalu.
Sejak itu UMNO dan Pas yang membentuk Muafakat Nasional telah menjadi pembangkang yang kuat dan membuktikan kejayaan di dalam lima pilihan raya kecil termasuk terbaharu pada pilihan raya kecil Kimanis di Sabah.
Kemelut politik yang berlaku hari ini adalah antara senario yang pernah dibincang oleh parti-parti politik apabila gerakan dipelopori oleh Azmin dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi setelah sokongan terhadap kerajaan PH semakin merosot kerana kegagalan pakatan berkenaan mentadbir serta menguruskan negara khususnya soal perpaduan kaum dan ekonomi.
Melihatkan senarai pemimpin yang ada di dalam barisan Muhyiddin kebanyakan terpalit dengan isu integriti dan moral, kecuali para pemimpin Pas dan Bersatu.
Oleh itu diramalkan kabinet baharu ini akan lebih didominasi oleh Bersatu dan Pas, walaupun UMNO mempunyai jumlah ahli parlimen terbesar iaitu 42 orang.