Sambutan Tahun Baru Cina dijangka paling meriah tahun ini – Raja Muda Perlis
MALAYSIA merupakan sebuah negara yang berbilang kaum, di mana terdapat banyak etnik, bahasa dan agama, dan mereka masih mengekalkan adat dan budaya nenek-moyang masing-masing.
Sehubungan itu, masyarakat di negara ini terus mempamerkan pelbagai gaya hidup, kepercayaan dan sambutan perayaan yang berbeza.
Tahun Baru Cina umpamanya mengetengahkan beberapa aspek dan amalan menarik tradisi kaum Cina.
Perayaan yang disambut oleh kaum Cina ini juga dikenali sebagai masa yang terbaik untuk kesemua ahli keluarga berkumpul, di samping bermain bunga api dan mercun, menghayati Tarian Singa, menikmati Limau Mandarin, dan juga masa untuk memberi dan menerima ’Ang Pow’.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan merasmikan ”Pembukaan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) bertajuk “Sharing the Joy of the Rabbit Chinese New Year 2023” anjuran Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dengan kerjasama YTF pagi tadi.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Penasihat DiRaja YTF rasa amat teruja menjadi sebahagian daripada Webinar YTF kali ini, untuk sama-sama belajar lebih mendalam lagi mengenai sambutan Tahun Baru Cina di dalam dan juga luar negara.
Raja Muda juga merasakan bahawa sambutan Tahun Baru Cina tahun ini merupakan sambutan yang terbesar dan paling meriah sekali buat kaum Cina di Malaysia, dan juga di seluruh dunia.
Terdahulu itu Presiden UTAR, Ir. Prof. Dr. Ewe Hong Tat menyampaikan kata-kata aluan.
Webinar tersebut dimoderatorkan oleh Ahli Pemegang Amanah YTF, Tan Sri Datuk Seri Prof Dr. Ng Yen Yen.
Webinar tersebut dirasmikan penutupannya oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pengerusi YTF pada sebelah tengah harinya. – SM