Hiburan

Sambutan hebat: Konsert Double Trouble 2, 5 Ogos ini

KONSERT Search Rockin’ On Rooftop di bumbung Kompleks Campbell dan Konsert Barbarik – Pentas Keras di Zepp Kuala Lumpur tahun lalu memberi impak kuat terhadap peminat muzik rock tanah air.

Hampir semua menyifatkan ia konsert rock terbaik tanah air sepanjang tahun lalu. Malah lebih sebulan selepas kedua-dua konsert yang berlangsung pada Jun dan Disember itu, peminat masih memperkatakannya.

Ramai yang terus berkongsi pendapat serta memuat naik video konsert berkenaan di media sosial masing-masing.

Jadi, bayangkan impaknya apabila Search dan Barbarik bergabung pula pada Konsert Double Trouble 2 di Stadium Malawati, Shah Alam, pada 5 Ogos ini.

Search yang dibarisi Noordin (gitar), Kid (gitar), Yan (bass), Denden (penyanyi) dan Minn (dram) bergabung dengan Barbarik yang dianggotai Joe Branko (gitar), Muss (penyanyi), Ainol (dram), Rozaimie (bass) dan Adi (keyboard).

Pastinya dinanti-nantikan para peminat rock di seluruh pelosok tanah air.

Konsert Double Trouble 2 dianjurkan Alpha Nation manakala pengurusan produksi oleh Laskhar Entertainment & Playmad Sdn Bhd. Urusan promosi pula dilunaskan oleh Mewah Event Management (MEM).

Sementara itu, Joe Branko dalam kenyataannya berkata, walaupun berdepan cabaran, mereka berjanji akan berikan yang terbaik pada Konsert Double Trouble 2 nanti.

“Kedua-dua konsert Search dan Barbarik sebelum ini memang sukses. Inilah cabarannya buat kami untuk mengekalkan momentum konsert itu,” katanya.

Menurut Joe lagi, kedua-dua band ini banyak berbincang dan bertukar-tukar idea bagi memastikan konsert itu nanti adalah yang terbaik.

“Saya kerap berjumpa dan berbincang dengan Noordin dan Kid. Kami juga banyak mengadakan pertemuan dengan penganjur,” katanya.

Joe berkata, konsep mereka kali ini tidak banyak beza dengan Konsert Double Trouble yang pernah dianjurkan sebelum ini.

Kemungkinan kedua-dua band akan menyampaikan 10 lagu dan juga akan memainkan enam lagu bersama-sama, katanya.

“Mungkin ada enam lagu di mana Search dan Barbarik akan pentaskan bersama-sama tetapi ini bukan masing-masing nak tunjuk ‘terror’, bukan nak ‘battle’ apa semua sebaliknya kami akan main bersama-sama,” jelasnya.

Penganjuran konsert ini berinspirasikan album Double Trouble 2 yang menggabungkan Search dan Wings pada 1998.

Untuk rekod, kumpulan Search pada ketika itu menampilkan Amy (penyanyi), Noordin (gitar), Kid (gitar), Fauzi (bass) dan Allahyarham Yazit (dram) manakala Wings pula dibarisi Muss (penyanyi), Joe (gitar), Eddie (bass) dan Black (dram).

Dalam pada itu, Noordin pula berkata, kelebihan Konsert Double Trouble 2 menampilkan pemuzik generasi “selepas” mereka seperti Denden dan Minn dari Search serta Ainol, Adi dan Rozaimie dari Barbarik.

“Kali ini biar mereka pula buktikan. Saya, Kid, Yan, Joe dan Muss adalah orang lama dan semua peminat sudah tahu. Mereka pula pemuzik generasi selepas kami yang cukup berbakat,” katanya.

Noordin berkata, pastinya ada kejutan dalam konsert ini nanti dan mereka berjanji akan membuatkan peminat puas selepas menonton persembahan mereka.

Tiket-tiket berharga RM129, RM139, RM159, RM169, RM179, RM199 dan RM359 (VIP) yang boleh dibeli di www.ilassotickets.com atau WhatsApp di talian 011-13297822. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button