AgamaNegeri

Sambut Syawal dengan meriah, suasana bersih – Raja Muda Perlis

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, semoga Syawal pada tahun ini disambut oleh rakyat dengan penuh kemeriahan dalam suasana yang bersih dan selesa.

Baginda bertitah, rakyat negeri ini juga dinasihatkan supaya mengamalkan budaya bersederhana dalam penyediaan makanan di sepanjang musim perayaan kali ini.

Baginda bertitah, rancang juga menu-menu yang bakal disediakan.

“Elakkan pembaziran terutamanya sewaktu mengadakan jamuan hari raya dan bersederhanalah semasa memasak hidangan dan janganlah terlalu berlebihan,” titah Baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian selepas berkenan berangkat bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ke majlis Sembah Mengadap Tahunan Sempena Aidilfitri oleh warga kerja Istana Arau di Istana Arau.

Turut berangkat ialah anakanda bongsu Baginda berdua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Sementara itu, Pengarah SW Corp Negeri Perlis, Shamsuharizal Basir memaklumkan bahawa bersempena sambutan Aidilfitri kali ini, SWCorp bersama Syarikat E-Idaman telah merancang operasi khas pada malam raya bermula pada pukul 12 tengah malam sehingga 7 pagi.

Katanya, ia disusuli dengan pada hari raya pertama, operasi kutipan bermula pada pukul 1 tengah hari sehingga 6 petang.

Penjadualan semula ini hanya melibatkan kawasan yang jadual kutipan jatuh pada hari raya pertama sahaja.

Ini bagi memberi peluang kepada pekerja konsesi yang beragama islam menunaikan solat Aidilfitri.

Terang beliau, Operasi khas pada tahun ini melibatkan 34 jentera pembersihan oleh Syarikat konsesi.

Selain itu katanya, SWCorp juga akan memfokuskan kepada 22 hotspots kutipan tong pusat di jalan-jalan utama, jalan protokol termasuk juga di masjid-masjid.

Syarikat konsesi juga membekalkan 30 unit tong tambahan iaitu 25 unit tong pusat serta 5 unit tong roro dalam operasi pada kali ini.

Tambah Shamsuharizal, SWCorp berharap operasi khas pada kali ini dapat memberikan keselesaan pada penduduk Perlis bagi memastikan Syawal yang diraikan berada dalam keadaan bersih, selesa dan menawan.

Pada masa yang sama beliau memohon kepada penduduk di Perlis agar menggunakan kemudahan tong yang disediakan dengan sebaiknya dan jangan membuang sampah di tempat yang tidak dibenarkan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button