Sambal Getah antara tarikan menarik di Dataran Merdeka
BUAT kali ketiga, Pesta Citrasa Sambal (TOSFE) 0.3 kembali dengan memperkenalkan 9 sambal yang telah diiktiraf Jabatan Warisan Negara di Galeri Sambal Warisan, Warong Pak Aji yang sedang berlangsung di Dataran Merdeka.
TOSFE dianjurkan oleh Persatuan Seni Warisan Artistik Digital (PSWAD) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bermula dari 14 September hingga 16 September 2024 di Dataran Merdeka sempena Festival Permainan Malaysia 2024.
Pengerusi PSWAD, Azmi Jaffry berkata, antara sambal yang menarik perhatian para pengunjung adalah Sambal Getah yang berasal dari negeri Pahang, merupakan keunikan dan jarang diketengahkan.
“Keunikan sambal biji getah ini seperti lempeng dan kerepek, rasanya pahit-pahit lemak. Proses membuatnya agak payah sedikit namun rasanya memang enak.
“9 sambal itu pun kadang-kadang kita tidak tahu dari negeri mana. Contohnya, sambal Jawa yang diiktiraf dua negeri, Johor dan Selangor, yang mempunyai suku kaum Jawa, itulah kelainannya,” katanya semasa ditemui bual oleh Suara Merdeka.
Antara sambal yang dipamerkan adalah Sambal Tumis, Sambal Gesek Ikan Bilis, Sambal Goreng, Sambal Tempoyak Daun Kayu, Sambal Rong, Sambal Biji Getah, Sambal Hitam Ikan Bilis, dan Sambal Tahun.
Tambahnya lagi, sudah menjadi tanggungjawab pihak TOSFE untuk mempromosikan sambal-sambal yang dikeluarkan oleh usahawan tempatan.
“TOSFE merupakan salah satu platform untuk mempromosikan sambal sebagai salah satu produk pelancongan makanan. Pada pesta yang lepas, kami berjaya mengumpul usahawan-usahawan sambal bagi mempamerkan lebih 100 jenis sambal selain jualan produk berasaskan serta berkaitan sambal.
“Namun, kali ini, kami membawa kelainan dengan memberi ruang kepada pengunjung untuk melawat Galeri Sambal, Warong Pak Aji yang akan menampilkan replika sambal yang diperbuat daripada silikon,” katanya pada Majlis Pelancaran TOSFE 0.3 di Galeri Sambal Warisan, Dataran Merdeka, semalam.
Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Dato’ Mohd Yusri bin Mohd Yusoff dan Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran bin Mohd Haris.
Sehubungan itu katanya, TOSFE mempamerkan ketiga-tiga makanan ini dalam satu sudut Sarapan Malaysia di dalam galeri tersebut sebagai tanda menyokong usaha MOTAC memastikan hidangan tradisional rakyat ini diiktiraf sebagai Budaya Sarapan Pagi Malaysia.
Di setiap pameran produk tersebut terdapat info lengkap berkaitan produk yang didapati daripada Jabatan Warisan Negara.
Antara tarikan utama galeri tersebut adalah di gerai teh tarik di mana pengunjung boleh bergambar dengan aksi seperti membuat teh tarik yang diperbuat daripada silikon.
Pada kali ini juga, TOSFE memberi ruang kepada para artis yang mempunyai produk sambal seperti Datuk Khatijah Ibrahim, Ezlynn, Nazia Mustafar, dan Datuk Seri Vida yang akan turut serta bagi menjual produk sambal mereka di reruai artis.
Sementara itu, golongan asnaf dan OKU tidak dilupakan apabila mereka diberi peluang menjual produk sambal sendiri atau menjadi agen produk sambal keluaran artis seperti Fazlina Datuk Ahmad Daud dan Nadia Mustafa tanpa sebarang bayaran dan diberikan komisen hasil jualan tersebut.
Ia sekaligus memberi peluang kepada golongan ini untuk menjana pendapatan dan meningkatkan ekonomi mereka.
Selain itu, Ajinomoto turut menyumbang produk kepada OKU dan asnaf untuk dijual pada hari tersebut dengan hasil jualan sepenuhnya kepada OKU dan asnaf. TOSFE turut bekerjasama dengan NGO dan Yayasan Wilayah Persekutuan untuk menyantuni golongan asnaf dan OKU dengan memberi sumbangan barangan keperluan dan wang tunai. Tambah Azmi, antara tarikan utama aktiviti adalah pertandingan teh tarik, nasi lemak terbaik, pertandingan makan sambal, serta Inovasi Sambal. TOSFE turut mendapat sokongan beberapa NGO antaranya Persatuan Anak Melayu Johor, Karwayan, BUMTRA, PERTIMA, serta agensi pelancongan untuk membawa pelancong ke acara tersebut.
PSWAD turut berharap inisiatif Galeri Sambal ini tidak hanya terhenti di TOSFE, sebaliknya, persatuan ini dapat meneruskan jelajah ke seluruh Malaysia untuk mempamerkan sambal yang telah diiktiraf oleh JWN sebagai Makanan Warisan Negara.