Salahuddin seru pembangkang sepakat bentuk gabungan besar
PARTI-parti pembangkang diseru untuk mencapai kata sepakat dalam membentuk gabungan besar pembangkang yang dicetuskan oleh Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, parti itu menyambut baik saranan tersebut.
“Kerjasama ini sangat penting untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang mungkin bakal diadakan bila-bila masa sahaja.
“Amanah menyeru semua komponen blok pembangkang termasuk Pakatan Harapan, Pejuang, Warisan, UPKO, PSB, Muda dan lain-lain untuk mencapai kata sepakat dalam membentuk gabungan besar pembangkang ini,” kata Salahuddin.
Mohd Shafie sebelum ini menyarankan kepimpinan barisan parti pembangkang perlu membuat perubahan untuk memenangi hati rakyat, sekali gus mengambil semula tampuk pemerintahan kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Katanya, barisan pembangkang harus berani melakukan perubahan berikutan hala tuju tidak menentu serta keadaan ketidakstabilan politik dialami negara.
“Perubahan ini diperlukan rakyat yang dikongkong Covid-19, mereka menganggur tidak punya pekerjaan. Hala tuju tidak menentu, kestabilan politik tidak mantap.
“Hari ini, Parlimen ada 112, 109, 108 (sokongan). Bayangkan keadaan seperti apa yang berlaku di Perak boleh berubah kerajaan kerana tiada kestabilan.
“Apa yang kita mahukan, kita selaku parti Warisan dan juga pembangkang termasuk rakan kita perlu berani membuat perubahan,” katanya.
Beliau berkata, jika barisan pimpinan pembangkang masih di takuk lama dan hanya berpaut pada kaedah hari ini, rakyat tidak akan berpihak kepada mereka pada PRU akan datang.-SM