Politik

Salahuddin cabar bubar DUN Johor dulu

AHLI Dewan Undangan Negeri Simpang Rengam Datuk Seri Salahuddin Ayub mencabar Perikatan Nasional agar memulakan langkah Pilihan Raya Umum (PRK) dengan membubarkan dahulu Dewan Undangan Negeri Johor.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai membuat cabaran tersebut berikutan semakin ramai kepimpinan UMNO yang menggesa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin membubarkan Parlimen.

Jelas Timbalan Presiden Parti Amanah Negara itu, langkah mengadakah pilihanraya harus bermula di Johor kerana kemelut politik yang berlaku di negeri tersebut ketika ini.

“Mutakhir ini, semakin ramai pemimpin Umno yang telah menggesa agar Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membubarkan Parlimen supaya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

“Oleh kerana mereka ini begitu ghairah untuk PRU diadakan, saya ingin mencabar mereka memulakan langkah ini di Johor.

“Mereka menyebut tentang ketidakstabilan situasi politik negara sebagai alasan untuk mengadakan PRU, maka langkah ini harus bermula di Johor ekoran kemelut politik di negeri ini,” kata Salahuddin.

Perikatan Nasional (PN) mula berkuasa di Johor pada awal Februari ini setelah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang juga Adun Gambir, membawa partinya meninggalkan PH.

Kedudukan DUN Johor juga tidak stabil ketika ini dengan PN hanya mempunyai 29 kerusi DUN manakala PH mempunyai 27 kerusi.

“UMNO dan Bersatu tidak perlu berlengah dan boleh memohon agar Dewan Undangan Negeri Johor dibubarkan pada bila-bila masa sahaja,” cabar Salahuddin.

Terbaharu cadangan membubarkan Parlimen datangnya daripada Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Dalam satu kenyataan Mohamad Hasan mencabarkan agar Muhyiddin membubarkan segera Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan berikutan ketidaktentuan politik semasa.

Katanya, situasi ketidakstabilan politik yang dihadapi sekarang tidak pernah dihadapi sejak negara merdeka.

“Situasi ini menyukarkan kerajaan untuk meluluskan pelbagai rang undang-undang yang kritikal termasuklah membentangkan belanjawan bagi memulihkan negara daripada kemelesetan ekonomi.

“Segala usaha untuk memulihkan ekonomi negara, mencipta pekerjaan dan melonjakkan persaingan tidak akan berlaku tanpa kerajaan yang stabil dan Parlimen yang boleh berperanan melakukan semak dan imbang.

“Justeru, pembubaran Parlimen ini perlu dilakukan tanpa berlengah. Negara tidak boleh terus menerus diheret dengan debaran ketidaktentuan serta kemungkinan pertukaran kerajaan selang beberapa bulan.

“Ini bukan sesuatu yang sihat untuk negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam mengemukakan cadangannya itu, Mohamad meminta Muhyiddin mencontohi langkah diambil Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang membubarkan Parlimen republik itu bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan pada 10 Julai 2020. Keputusan itu dibuat bagi memastikan Kerajaan yang memerintah mempunyai mandat yang baik dan diyakini.-SM

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button