Salahkah tanya ‘what’s next’ kepada Presiden UMNO, Zahid Hamidi?
KETUA Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Simpang Renggam, Mohd. Faizal Md. Said mahu tahu apakah langkah seterusnya yang akan diambil oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sambil menyifatkan, parti bukan umpama bermain golf yang strateginya hanya seorang sahaja yang tahu.
Beliau betanya, ‘what’s next’ sambil menegaskan, Datuk Presiden wajar memberi pencerahan tentang strategi seterusnya selepas menarik balik sokongan daripada Perikatan Nasional (PN).
Menurut Mohd. Faizal lagi, bukan sahaja kepemimpinan tertinggi tetapi akar umbi juga keliru dengan langkah Ahli Parlimen Bagan Datok itu dan mereka semua menantikan penjelasan langkah seterusnya seperti yang dirancang oleh Ahmad Zahid.
“Mengikut perkiraan mana pun, UMNO tidak akan mampu menjadi kerajaan semula jika PN dijatuhkan.
“Apa yang dilakukan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah bertanya tentang langkah seterusnya sekiranya PN dijatuhkan. Pada saya tiada salahnya soalan itu ditanyakan,” kata Mohd. Faizal.
“Analoginya begini, kita sebagai satu pasukan bola sepak perlu faham strategi apakah yang mahu dimainkan.
“Sekiranya Datuk Seri Ismail Sabri yang juga Timbalan Perdana Menteri tidak tahu, apatah lagi kami di peringkat akar umbi,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, “kebimbangan saya apabila menteri dari UMNO meletakkan jawatan dan PN tumbang. Adakah UMNO boleh menjadi kerajaan semula.
Mohd. Faizal berkata, beliau juga memahami dilema dihadapi oleh menteri-menteri UMNO termasuk Ismail Sabri yang masih mempertahankan PN kerana mengambil kira kepentingan rakyat.
Katanya, dalam keadaan pandemik ketika ini dengan rakyat dihimpit pelbagai masalah, penting bagi kerajaan melaksanakan dasar membantu rakyat.
“Jika kerajaan dijatuhkan, ia akan mengambil masa yang lama untuk membentuk kerajaan baharu dan bakal menyulitkan lagi hasrat kita untuk menangani pandemik Covid-19 ini.
“Saya juga kesal apabila Ahmad Zahid seolah-olah membiarkan sahaja menteri-menteri UMNO ini bersendirian sedangkan mereka memikirkan tentang rakyat,” jelas beliau.
Terdahulu, Ahmad Zahid dalam kenyataannya melahirkan rasa kesal dengan tindakan yang disifatkan menimbulkan syak wasangka terhadap ketetapan parti tersebut.
Ahmad Zahid berkata keputusan Majis Kerja Tertinggi (MKT) sudah menegaskan bahawa UMNO mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memimpin kerajaan PN berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad. – UtusanTv – SM