Politik

Nurul Izzah buktikan jajaran baharu Zahid adalah benar

Seperti bapanya, gesaan Nurul Izzah Anwar yang mahu mewujudkan gabungan baharu untuk membentuk kerajaan menggantikan Perikatan Nasional (PN) membuktikan rancangan jajaran baharu yang dirancang Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bukan mitos.

Ahli Parlimen (MP) Kuala Kangsar, Datuk Mastura Yazid berkata kenyataan Nurul Izzah itu membuktikan terdapat usaha yang cuba mengheret UMNO untuk menyertai jajaran baharu diketuai bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disambut pula kumpulan dalam kem UMNO yang bersama Zahid.

“Kenyataan oleh Nurul Izzah ini jelas menunjukkan ada usaha yang bersungguh-sungguh untuk mewujudkan koalisi baru demi pembentukan satu jajaran baharu yang mampu membentuk sebuah kerajaan.

Jajaran baharu ini bukan mitos malah realiti!.

“Kita tidak hairan akan usaha oleh Pakatan Harapan, PH untuk kembali berkuasa namun apa yang mengecewakan apabila ianya disambut oleh kumpulan tertentu dengan penuh proaktif dari UMNO samada menyedari atau tanpa menyedari akan mengakibatkan sebuah Kerajaan Melayu Islam dijatuhkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata pernah menyuarakan kebimbangannya berhubung usaha untuk membawa UMNO bersama Anwar dan DAP, kini terbukti telahannya sudah menjadi kenyataan.

“Saya pernah menyatakan kebimbangan kepada kalangan rakan-rakan kepimpinan akar umbi, betapa rasionalisasi untuk menerima DAP dan Anwar sebagai Perdana Menteri sedang disusun,” katanya lagi.

Lebih malang lagi, apabila tindakan tersebut tidak dipersetujui oleh pemimpin UMNO lain, pelbagai ugutan dan tindakan dibuat terhadap perwakilan dan ahli-ahli UMNO yang sedang berkhidmat dalam kerajaan, ia merujuk kepada Menteri dan Timbalan Menteri yang enggan mengikut telunjuk Zahid.

“Ini soal mempertahan agenda Melayu demi mempertahan syiar Islam dan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Saya tidak rela mengizinkan liberalisasi melintas didepan mata saya, masuk ke sistem pemerintahan negara dari pintu tengah tanpa berbuat apa-apa.

“Biar saya dikecam dihina oleh generasi Siber hari ini, jangan saya dipersoal oleh generasi waris pejuang kita akan datang,” ujarnya.

14 MP UMNO diketuai Zahid sedang merancang bersama blok pembangkang diketuai Anwar, serta parti kecil lain yang cuba menumbangkan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ini.

Setelah beberapa kali gagal untuk menumbangkan kerajaan PN, kumpulan Zahid dan Anwar dilaporkan mengutus surat terbaharu kepada Yang di-Pertuan Agong mendakwa Muhyiddin tidak mempunyai majoriti.

Sebelum ini Yang di-Pertuan Agong sudah memperkenankan rancangan Muhyiddin untuk mengemukakan usul percaya terhadap kepimpinan beliau bagi membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri yang memiliki majoriti Parlimen.

Usul itu dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat yang bakal bermula 6 September ini.

(Visited 2,560 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button