Penyandang Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berdepan saingan lima penjuru dalam usaha beliau mempertahankan Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berdepan saingan kuat dari Pakatan Harapan (PH) yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari selain Ketua UMNO Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din yang dipertaruhkan Barisan Nasional (BN).
Turut menyertai saingan di kerusi itu, calon Gerakan Tanah Air (GTA) yang akan menggunakan logo Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Jamaludin Mohd Tahir serta seorang calon bebas, yang juga Presiden Penaja Parti Bahtera Sejahtera Malaysia, Zulkifli Ahmad.
Keputusan pencalonan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihanraya bagi kerusi Parlimen Gombak, Wan Norazlina Abdul Aziz di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu di sini, hari ini.
Sementara itu, pengacara sensasi, Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA tidak menyerahkan borang pencalonannya sebaik pusat penamaan calon PRU15 bagi Parlimen Gombak di SMK Sungai Pusu di sini, ditutup jam 10 pagi.
Terdahulu, Azwan yang pernah bertanding sebagai calon Bebas dalam PRU14 pada Mei 2018 lalu, namun tewas dan hilang deposit, tiba di sekitar pusat penamaan calon itu, kira-kira jam 8.30 pagi.
Kerusi Parlimen Gombak menjadi antara tumpuan kerusi panas dalam saingan PRU kali ini, dengan PH menjadikan kerusi itu sebagai medan menebus maruahnya.
Ini ekoran keputusan Azmin yang juga bekas Timbalan Presiden PKR pada Februari 2020 bertindak keluar parti bersama kira-kira 10 Ahli Parlimen PKR lain.
Amiruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, antara DUN di bawah Parlimen Gombak menjadi taruhan besar PH dan dianggap paling menyengat untuk merampas kembali kerusi itu kali ini.
Pada PRU14 lalu, Azmin menang di kerusi itu dengan majoriti 48,721 undi.
Sementara itu, kehadiran calon PH, PN dan BN turut diiringi ratusan penyokong masing-masing, sekali gus menyaksikan pusat penamaan calon itu gamat dengan sorakan penyokong parti.