Safi Sali bercerai talak dua dengan isteri
BEKAS penyerang bola sepak kebangsaan, Safee Sali dan isterinya Fitria Elfina Maharip telah bercerai dengan talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor hari ini.
Hakim Syarie Mohd. Fakhrurrazi Mahammad memutuskan demikian dalam prosiding pengesahan lafaz cerai selepas meneliti keterangan kedua-dua pihak.
Fitria Elfina , 44, selaku plaintif berkata, dia menerima dua lafaz cerai menerusi pesanan suara yang dihantar Safee, 40, menerusi WhatsApp pada 11 Februari lalu.
“Pesanan secara berasingan itu dihantar ke telefon bimbit anak kami kerana telefon saya sudah dirampas.
“Lafaz itu adalah ‘saya lepaskan awak dan saya ceraikan awak’ dan ‘sekali lagi saya ikhlas saya ceraikan awak’. Pada waktu itu, saya dalam keadaan suci dan tidak mengandung,” katanya pada prosiding itu.
Sementara itu, Safee memaklumkan dirinya dengan niat jelas dan terang hati melafazkan cerai berkenaan. – SM