Hiburan

Sabri Yunus kembali dengan Butak

Filem yang mendapat sentuhan pengarah Sabri Yunus sering kali mendapat sambutan kerana corak dan jalan cerita yang tersendiri.

Malah, beberapa karya seperti Pok Ya Cong Codei yang disiarkan pada 2018 sebelum ini pernah menjadi tular dan mendapat tontonan yang tinggi.

Beberapa lagi karyanya yang lain seperti Sangul Beracun, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman, Kita Bukan Anjing dan Che Pa turut membuktikan Sabri Yunus sebagai seorang pengarah yang sentiasa perjuangkan karya berkisar akan adat dan kebudayaan serta sarat dengan mesej-mesej kerakyatan.

Kini, beliau kembali dengan buah tangan terbaru iaitu filem Butak yang akan terus ke pawagam rumah anda, Astro First, saluran 480 mulai 8 Oktober ini.

Padat dengan mesej positif, Butak mempertaruhkan pelakon remaja yang juga pemenang Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama di Anugerah Skrin 2015 dan Pelakon Kanak-kanak TV Terbaik, Anugerah Seri Angkasa 2016, Izuan Fitri sebagai tunggak utama.

Kali ini dia menonjolkan sisi berbeza daripada penampilannya dalam filem One Two Jaga (Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-30) dan filem Munafik.

Penerbit Two Tones, Amru Najmi Osman berkata, Butak merupakan sebuah filem arahan Sabri Yunus yang terkini dan nyata berlainan dari filem-filem yang sedia ada.

“Sabri Yunus yang kita kenali sering memberikan nafas baru kepada genre-genre filem di Malaysia dan ianya sering mendapat perhatian peminatnya.

“Kisah Butak ini, antara sentuhan Sabri Yunus yang mengisahkan bagaimana seorang budak remaja yang sering dibenci oleh orang kampung kerana kenakalannya.

“Namun pada hakikatnya, Butak merupakan seorang remaja yang berjiwa murni dan jauh disudut hatinya, insaf ingin bertaubat kepada yang Esa,” ujarnya.

Butak mengisahkan tentang seorang remaja bernama Butak yang nakal tetapi cerdik. Penduduk kampung sering mengadu akan setiap hal dan kekecohan yang Butak buat di kampungnya itu.

Sehinggalah satu peristiwa yang meruntun hatinya, Butak merajuk dan menyalahkan diri sendiri lalu nekad untuk lari dari rumah. Kisah yang Butak sering dengar tentang ibadat Haji membawanya ke Pelabuhan Penang.

Terdetik di hati Butak untuk menaiki kapal merasai pengalaman itu sendiri. Sujud di depan Kaabah memohon maaf di atas di atas kesilapannya yang lalu dan berubah menjadi seorang yang lebih baik.

Selain Izuan, Butak turut menampilkan pelakon-pelakon hebat senior dan baharu antaranya Bohari Ibrahim, Kaza Saisi, Imuda, Khatijah Tan, Laila Nasir, Fimie Don, Melly Amalin, Saidi Sabri, Azman Hassan, Fazli Daniel Ali, Adrenna Rose, Omar Hj Abdullah, Ahmad Nizam Bahari. Sabri Yunus juga turut membuat penampilan sebagai Pak Man.

Sementara itu Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, istimewa buat penonton Astro, mereka membawakan sesuatu yang berbeza daripada sebelum ini dengan menampilkan filem genre fiksyen terus ke pawagam rumah anda, Astro First.

“Menariknya, Butak juga adalah sentuhan pengarah prolifik, Sabri Yunus yang sememangnya sering dikenali dengan karya-karya sastera serta elemen yang dekat dengan kehidupan masyarakat setempat.

“Kami harap Butak bukan sahaja mampu menghiburkan penonton malah turut dapat menyampaikan mesej tersurat dan tersirat yang dipersembahkan dengan cara kreatif sebagai pengajaran kepada masyarakat dalam kehidupan seharian,” ujarnya.

Merek yang berminat untuk menonton Butak boleh terus ke saluran Astro First 480 yang akan menyiarkan filem berkenaan bermula esok. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button