Nasional

Sabah perlu tetapkan semula keutamaan untuk bantu pemain kecil ekonomi

KERAJAAN negeri Sabah perlu membuat ‘reset’ atau menetapkan semula keutamaan dengan memberi lebih tumpuan kepada aspek mikroekonomi.

Langkah itu penting sebagai usaha untuk terus memelihara, menyokong sekali gus membantu pemain kecil ekonomi di negeri ini terutamanya dalam mendepani suasana ekonomi mencabar ketika ini.

Pemain kecil ekonomi seperti peniaga warung, pekerja runcit, petani, peladang, nelayan, pekerja bebas adalah antara golongan terjejas sumber pendapatan akibat pandemik COVID-19, selain turut menyaksikan mereka mengharungi perubahan drastik permintaan dan penawaran serta ekonomi norma baharu.

“Reset ini penting kerana dalam norma baharu kita bukan sahaja ‘berfikir di luar kotak’, mungkin ia memerlukan kita mewujudkan ‘kotak baharu’.

“Dalam soal ekonomi, kita tidak boleh melihat aspek makroekonomi sahaja tetapi lebih banyak tumpuan harus diberikan kepada soal mikroekonomi,” katan Ahli Dewan Undangan Negeri Usukan Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Salleh menggariskan tiga cadangan kepada kerajaan Sabah bagi membantu pemain kecil ekonomi iaitu meneruskan projek pembinaan infrastruktur dan perumahan untuk menggalakkan peningkatan aliran wang dalam ekonomi tempatan sekali gus meningkatkan keyakinan para pelabur dan komuniti tempatan.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan menyelaraskan kemudahan sedia ada seperti dana, geran, atau pinjaman wang yang benar-benar dapat membantu pemain kecil ekonomi termasuk menjalin kerjasama erat, pantas dan cekap dengan semua agensi berkaitan sama ada di bawah kerajaan Persekutuan mahupun negeri.

“Kerajaan juga perlu memainkan peranan utama dalam menyediakan pasaran bersesuaian untuk pemain kecil ekonomi. Kajian perlu dibuat untuk kaedah pemasaran yang memanfaatkan golongan tersebut sama ada daripada segi tradisional atau inovasi teknologi terkini,” katanya.

Selain itu, Salleh berkata, kerajaan negeri juga perlu meneroka potensi baharu ekonomi khususnya melibatkan sektor perikanan, pertanian dan perlancongan. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button