Politik

Rundingan terus: Jangan ada ‘double standard’ – Guan Eng

PAKATAN Harapan (PH) mendesak Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dedah semua projek rundingan terus.

Ini termasuklah projek rundingan terus yang diluluskan beliau sendiri dalam kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Selain itu, beliau juga didesak mendendahkan senarai projek rundingan terus yang diluluskan oleh Barisan Nasional (BN) ketika memerintah sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Menteri Kewangan juga harus berterus terang dengan mendedahkan projek rundingan terus zaman BN.

“Penting sekali, projek rundingan terus yang diluluskan oleh beliau sendiri dalam kerajaan PN sebagai Menteri Kewangan.

“Menteri Kewangan harus membuktikan semua projek rundingan terus yang diluluskan oleh beliau adalah teratur dan berkepentingan awam.

“Biar rakyat buat penilaian sendiri. Kerajaan mana yang mendokong prinsip akauntabiliti dan ketelusan jangan ada ‘double standard’ atau ada antara ‘dua darjat’.”

Demikian gesaan yang dibuat bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam sidang akhbar di Lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan pendedahan terhadap 101 projek rundingan terus yang didakwa diluluskan oleh kerajaan PH ketika memerintah selama 22 bulan.

Pendedahan itu dibuat Tengku Zafrul menggunakan media sosialnya dengan memaklumkan senarai projek dan kementerian terlibat dengan projek rundingan terus itu.

Dalam senarai tersebut, beberapa kementerian turut didedahkan termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), Pertahanan (Mindef), Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Turut terlibat adalah, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Hal Ehwal Ekonomi, Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Pengangkutan (MOT).

Dalam pada itu, Guan Eng turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya turut menyiasat projek rundingan terus BN dan PN.

Menurut beliau, SPRM juga tidak sepatutnya mengamalkan sikap ‘double standard’ dalam isu tersebut dan mengelak daripada kelihatan ‘memihak’.

“Seperti SPRM yang hanya berhasrat mengkaji projek rundingan terus PH tetapi tidak BN dan PN.

“Biar fakta berbicara dengan sendirinya, berani kerana benar, amar makruf nahi mungkar,” ujarnya.

Terdahulu Suara Merdeka melaporkan Setiausaha Agung DAP itu mendakwa Menteri Kewangan melakukan tiga pembohongan dalam pendedahan tersebut.

Salah satu daripadanya adalah dakwaan projek rundingan terus yang didakwa Menteri Kewangan bernilai RM6.61 bilion.

Sebaliknya, projek rundingan terus yang diluluskan PH hanyalah bernilai RM332 juta.

Sementara selebihnya yang bernilai RM6.23 bilion adalah nilai projek yang ditinggalkan oleh kerajaan BN. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button