KebakaranNegeri

Rumah pusaka hangus, enam sekeluarga tinggal sehelai sepinggang

ENAM sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah pusaka yang didiami di Kampung Lembaga, Gua Musang musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Zainab Yunus, 59, seorang ibu tunggal berkata, ketika kebakaran berlaku, beliau baharu sahaja tidur kira-kira 20 minit apabila dia dikejutkan oleh jiran supaya keluar dari rumah.

Menurut Zainab, ketika dikejutkan oleh jiran, jam menunjukkan kira-kira pukul 4 pagi.

“Saya segera bingkas bangun apabila dikejutkan secara tiba-tiba oleh jiran dan saya mengejutkan dua orang anak, tiga orang cucu untuk menyelamatkan diri.

“Api pada ketika itu sedang marak dengan pantas dan dalam masa 15 minit, api merebak ke seluruh bahagian rumah,” katanya.

Beliau tidak sempat menyelamatkan barang-barang seperti dokumen kerana kejadian kebakaran berlaku terlalu pantas.

Katanya, kebakaran itu turut memusnahkan sebuah van, sebuah kereta dan lima buat motosikal.

Katanya lagi, buat sementara waktu, beliau sekeluarga akan menumpang di rumah saudara terdekat sebelum memikirkan langkah seterusnya.

“Memang perlu menumpang buat sementara dan sedang fiklir nanti perlu biat rumah baharu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Pengusaha Bomba, Mohd. Arifuddin Akif Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kebakaran pada pukul 4.06 pagi.

“Seramai sembilan anggota bersama tiga jentera bergegas ke lokasi kejadian dan ketika sampai, api masih marak.

“Anggota bomba mengambil masa 20 minit untuk mengawal api daripada merebak ke rumah berhampiran dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada pukul 7 pagi,” katanya.

Punca kebakaran, masih dalam siasatan, kata beliau. –  SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button