Rumah kondominium jadi lokasi simpan barang tiruan
SEBUAH rumah kondominium di Cheras, Kuala Lumpur telah dijadikan sebagai lokasi untuk menyimpan barangan tiruan berjenama mewah.
Lokasi tersebut berjaya dikesan hasil daripada risikan oleh Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya selama dua minggu.
Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, serbuan ke lokasi tersebut turut disertai wakil pemilik cap dagang, Global Trade Shield (GTS).
“Ketika tiba di lokasi kejadian, pintu besi telah dikunci dengan mangga dan menurut jiran rumah tersebut, rumah itu telah lama kosong serta tiada sebarang pergerakan keluar masuk dari rumah berkenaan.
BACA> ‘Kantoi’ jual sarung tangan getah terpakai
“Kita bersama dengan pihak pengurusan kondominium terpaksa memecahkan mangga tersebut dan mendapati pintu utama tidak dikunci,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Iskandar Halim, hasil pemeriksaan menemukan 1,754 buah beg tangan pelbagai jenama antaranya Gucci, YSL, LV dan Chanel.
Ujarnya, kesemua barang rampasan dianggarkan berjumlah RM140,320 dan kes disiasat di bawah Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019.
“Kita sedang mengenal pasti suspek yang terlibat dan akan mengesan mereka dalam masa terdekat.
“Siasatan lanjut secara terperinci juga akan dibuat termasuk mengesan pemilik premis atau penyewa
premis tersebut,” jelasnya.
BACA> Sorok petrol, dua warga Myanmar dipenjara
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyimpanan dan penjualan barang tiruan ini disarankan supaya melaporkan kegiatan ini melalui hotline 1-800-886-800 atau 03- 8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDNHEP. -SM