Rencah Hidup

Rumah kecil penuh sentimental, wanita ini kongsi hasil perjuangan berminda positif

Seorang wanita, Aishah Omar, berkongsi memori 25 tahun lalu mengenai perjuangannya dalam membayar balik pinjaman bagi pembiayaan sebuah rumah kecil di Flat Wangsa Maju, Seksyen 1, Kuala Lumpur.

Katanya, dia membeli rumah sewaktu berusia awal 20-an sekitar 1985 dan gajinya cuma sekitar RM400 sebulan sahaja namun perlu membayar pinjaman balik sekurang-kurangnya RM250 sebulan.

Pernah dipandang sinis oleh pegawai bank yang meneliti permohonan Aisyah namun tekad minda positif dan kekentalan yang dimilikinya, dia berjaya selesaikan kesemua hutang itu dalam tempoh kurang 16 tahun.

Berikut adalah coretan Aishah Omar yang turut disiarkan di page Orang Wangsa Maju:

16 September 1998, kira-kira hampir 25 tahun lalu, saya berjalan kaki dari Kampung Bharu ke pejabat di Jalan Tuanku Abdul Rahman dengan airmata berlinang di pipi.

Kesnya, saya baru selesai melunaskan hutang bank untuk bayaran rumah kecil saya di Wangsa Maju.

Bayaran RM3,800 waktu itu melunaskan hutang bank sebanyak RM22,500 yang saya pinjam untuk membiayai harga rumah kecil sebanyak RM25,000 yang saya beli pada tahun 1985.

Sedih dan sebak mengenangkan kata-kata pegawai bank sewaktu memohon pinjaman. Ketika itu saya berusia 23 tahun 2 bulan.

Gaji RM400, bayaran balik RM250 sebulan

“Gaji awak RM400, awak nak buat pinjaman dengan bayaran baliknya RM250 sebulan. Awak nak makan apa, nak makan pasir?” tanyanya sinis.

“Takpe Encik, nanti saya usaha la cari duit lebih…” lebih kurang begitulah jawab saya. Rasa terhina bercampur malu. Tetapi positif loan saya akan lulus.

Benar, loan lulus RM22,500 dan bayaran balik 15 tahun.

Berjaya selesaikan dalam tempoh 12 tahun 6 bulan

Saya menangis bukan semata-mata berjaya melunaskan hutang tetapi rasa bangga pada diri kerana melunaskan hutang di bawah jangka waktu yang ditetapkan iaitu selama 12 tahun 6 bulan.

Sebenarnya rumah kecil ini hanyalah sebuah flat kos rendah berkeluasan 575 kaki persegi. Inilah kediaman saya selama 17 tahun di awal perkahwinan.

Kalau sekarang, RM250 sebulan mungkin tiada masalah tetapi sewaktu gaji hanya RM400, tentulah ia amat banyak. Mujur saya tak pernah makan pasir.

Rumah kecil penuh sentimental

Inilah sebuah cerita. Sedih, hiba dan gembira berbaur menjadi memori hidup saya. Rumah kecil ini mungkin pada orang lain tiada maknanya tetapi ia sangat sentimental bagi saya.

Selepas 16 tahun ia bebas hutang, RM600 sebulan hasilnya membantu saya menggapai angan untuk menjadi tetamu Allah. Alhamdulillah 2 kali ke sana sebahagian hasilnya dari simpanan bayaran sewa rumah kecil ini.

Pesan pada diri, jangan pernah berputus asa menggapai segala angan yang diimpikan. Segalanya lebih manis bila ia dicapai hasil titik peluh sendiri. Think positif.

Kredit: Aishah Omar

Anda mempunyai kisah-kisah menarik untuk dikongsikan kepada masyarakat sebagai pencetus inspirasi? Emelkan kepada [email protected]

Baca Juga > Ismail Sabri santuni 41 anak-anak Rumah Amal Asnaf Al Barakh

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button