Nasional

Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia meningkatkan kemahiran penciptaan inovasi berkualiti luar bandar

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi semalam telah merasmikan Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia di Pusat Komuniti Desa (PKD) Layang-Layang, Kluang, Johor sebagai sebuah fasiliti kemudahan yang menyediakan platform hab reka cipta, teknologi dan inovasi kepada komuniti.

Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia di PKD Layang-Layang adalah yang keempat dibangunkan oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), salah sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) dan merupakan yang pertama dengan sokongan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB). Pembangunan Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia di PKD Layang juga merupakan hasil kerjasama dengan rakan strategik daripada Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dan Pusat Komuniti Desa Layang-Layang melalui kaedah Quintuple Helix iaitu gabungan antara Kerajaan, industri, akademia, masyarakat dan alam sekitar.

Pelaksanaan Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia ini bertujuan untuk membudayakan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) dalam membantu meningkatkan kemahiran penciptaan inovasi berkualiti di kalangan masyarakat. Dengan adanya Ruang Reka ini, ia dapat memberi peluang kepada masyarakat setempat berkumpul dan berinovasi dengan menggunakan teknologi sedia ada seperti pencetak 3D, robotik, dron dan lain-lain peralatan secara praktikal, sekaligus meningkatkan kualiti kehidupan, produktiviti serta ekonomi komuniti setempat melalui olahan idea dan kreativiti yang dapat dipasarkan.

Menurut Timbalan Menteri 2 Pembangunan Luar Bandar, Datuk Haji Hasbi Habibollah, pelaksanaan STIE membolehkan Pusat Komuniti Desa (PKD) Layang – Layang dipilih sebagai PKD rintis dalam pelaksanaan projek STIE Keluarga Malaysia dengan menggunakan ruang PKD dan pembekalan kelengkapan peralatan dan aplikasi teknologi STIE.

“Program pembudayaan STIE ini memberi manfaat kepada masyarakat setempat dengan menggarap idea kreatif dan menyuntik elemen inovasif khususnya belia luar bandar. Selain itu, komuniti luar bandar yang berkemahiran STIE dapat menjana pendapatan dan pekerjaan melalui aktiviti pembangunan prototaip produk inovasi ke peringkat pra-komersilan dan mereplikasi projek inovasi ke komuniti lain,” kata Hasbi.

Mengenai PKD pula jelas Hasbi, sebanyak 191 buah PKD diseluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dibangunkan di bawah inisiatif KPLB bagi membantu meningkatkan literasi digital dan kesejahteraan masyarakat luar bandar selari dengan motto “Satu Hentian Pelbagai Perkhidmatan”.

“PKD diuruskan oleh seorang pengurus dan dibantu oleh Pejabat KPLB Negeri selaku Agensi Penyelaras Negeri dengan dikawal selia oleh Bahagian Pembangunan Ekonomi Komuniti (EK). Fungsi PKD sebagai pusat latihan komuniti, aktiviti wanita, kesukarelaan, perkhidmatan setempat dan pengumpulan produk usahawan desa akan terus diperkasa selaras dengan Dasar Pembangunan Luar Bandar”, ujar Hasbi.

Tambah Hasbi lagi, program pemerkasaan PKD yang telah diluluskan peruntukan pembangunan sebanyak RM3 juta dalam Rolling Plan 2 (RP2) Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe- 12) dilihat mampu memperkasakan PKD selain memberikan manfaat kepada penduduk di kawasan luar bandar.

Selain Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia di PKD Layang-Layang, YIM juga telah membangunkan tiga projek pilot Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia di Taman Rasa Sayang, Paroi, Negeri Sembilan; Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran, Kuala Terengganu; dan kawasan Tenggara, Kota Tinggi, Johor.

Sebagai sebuah agensi di bawah MOSTI yang bertanggungjawab menyemarakkan dan membudayakan inovasi, YIM telah melaksanakan pelbagai inisiatif inovasi sosial untuk merakyatkan sains dan menginsankan teknologi di seluruh negara. Program-program yang dilaksana diharap dapat dimanfaat secara maksimum oleh komuniti setempat serta menggalakkan inovator menggunakan teknologi yang disediakan di Ruang Reka Keluarga Malaysia dalam membudayakan kreativiti dan inovasi di peringkat akar umbi seterusnya mengukuhkan ekosistem inovasi sosial.

Turut hadir, Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Seri Zainal Abidin Abu Hassan mewakili MOSTI dan Ketua Setiausaha KPLB, Dato’ Ramlan Harun. – SM

Kredit : Foto UKK@KPLB

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button