Mahkamah

Rosmah mahu Sri Ram tunjuk lesen mendakwa

DATIN Seri Rosmah Mansor yang berdepan pertuduhan rasuah berhubung pembekalan dan pemasangan panel tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak, memohon untuk memaksa pendakwa raya ad hoc, Gopal Sri Ram mengemukakan lesennya untuk mendakwa.

Isteri kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu juga meminta perbicaraan yang dijadualkan berlangsung pada Isnin, ditangguhkan sementara menunggu permohonannya selesai.

Peguam Akberdin Abdul Kadir, anggota pasukan peguam Rosmah berkata, permohonan itu dibuat pada Rabu.

“Sri Ram tidak mengemukakan sijil sebelum perbicaraan bermula. Kami mahu ia diserahkan kepada hakim,” katanya kepada FMT.

Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Mustaffa Kunyalam berkata, pihak pendakwaan akan membantah permohonan itu.

Related Articles

“Kami akan serah afidavit menjawab permohonan itu hari ini,” tambahnya.

Sri Ram, seorang bekas hakim Mahkamah Persekutuan, dilantik sebagai pendakwa raya pada 31 Ogos 2018, untuk menyelia siasatan dan mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan 1MDB melibatkan Najib dan lain-lain.

Beliau juga ditugaskan untuk perbicaraan Rosmah.

Rosmah dituduh meminta RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek solar hibrid untuk sekolah di Sarawak.

Beliau juga dituduh menerima suapan RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017.

Pihak pembelaan dijangka memeriksa balas saksi pendakwaan ke-12, bekas ketua setiausaha kementerian pendidikan Alias Ahmad, apabila perbicaraan bersambung di depan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Sebanyak 31 hari diperuntukkan untuk perbicaraan itu, yang berlangsung dari Julai hingga November.

Bulan lepas, Najib juga memohon untuk menyingkir Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan pindaan laporan audit 1MDB atas sebab berat sebelah.

Zaini, yang juga membicarakan kes itu, akan mendengar perkara itu pada 7 Ogos. – FMT

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button